Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah jadi sasaran kecaman pentaasub BTS, K-pop

Penyanyi Aishah mengakui kelantangannya bersuara berhubung hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ingin membawa kumpulan BTS ke negara ini dikecam hebat peminat K-pop.

Kata Aishah, siri kecaman bermula sebaik dia memuat naik beberapa status di media sosial membayangkan rasa kurang senangnya terhadap budaya tidak bermoral dipamerkan kumpulan berasal dari Korea Selatan itu.

“Saya diganggu dengan kritikan... mereka yang melemparkan kecaman itu macam terlalu taasub dengan artis kesayangan mereka,” katanya ketika ditemui di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ampang, semalam.

Menurutnya, dia diserang peminat BTS - atau nama lainnya Bangtan Boys - ekoran dakwaan mengaitkan kumpulan itu dengan budaya tidak bermoral yang dikhuatiri boleh berjangkit kepada belia negara ini.

“Apabila saya keluarkan klip video (memaparkan adegan kemesraan) tu, mereka jadi sangat marah.

"Ini yang jadi kebimbangan terbesar saya sebagai seorang Islam.

“Saya khuatir apabila ada dipertontonkan adegan sebegitu walaupun peminat memberi alasan ia cuma sebahagian daripada pertunjukan persembahan.

"Rusia juga mengharamkan filem mereka," katanya.

Jangan fikir untung semata-mata

Menurut penyanyi lagu Hanakage itu lagi, kesempatan yang diberikan kepada BTS untuk berucap untuk Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu sekalipun (Unicef) juga bukan alasan untuk menerima mereka dengan begitu mudah.

Peminat, kata pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu, sanggup menghalalkan cara demi menyatakan sokongan mereka terhadap satu-satunya artis Korea yang meraih jumlah tontonan video terbanyak di laman YouTube itu.

Untuk rekod, pada penghujung Disember 2018, penayangan (screening) filem konsert BTS yang dijadual di Republik Dagestan, Rusia sebelum ini dibatalkan berikutan tuduhan bahawa terdapat anggota BTS mengamalkan homoseksual.

Aishah (duduk, dua dari kanan) bersama artis tempatan berkunjung ke parlimen baru-baru ini

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan cadangan untuk menerbangkan BTS sebagai mempromosi acara Tahun Melawat Malaysia 2020 atas alasan pelbagai faedah dapat dijangkakan melalui kemasukan kumpulan itu yang menjadi fenomena dunia ketika ini. 

Selain Aishah, 54, cadangan itu turut mendapat bantahan daripada selebriti lain seperti Francissca Peter, Awie Wings, Sharnaaz Ahmad, Ito Mohd dan Helmi Gimmick.

Keluh- kesah artis itu juga dibawa ke parlimen dan mendapat perhatian Majlis Senator Malaysia baru-baru ini.

Mereka sebulat suara mendesak KBS menarik semula cadangan tersebut. 

Aishah yang turut dikenali sebagai penyanyi Melukut Di Tepi Gantang itu menggesa Syed Saddiq untuk mengambil kira pelbagai sudut sebelum benar-benar membawa BTS ke negara ini.

“Saya bercakap dari sudut pandang budaya, adakah dengan membawa BTS ini bersesuaian dengan ciri-ciri masyarakat kita?

“Saya juga mahu menteri memikirkan peluang pekerjaan untuk artis tempatan, bukan soal keuntungan semata-mata,” katanya.

Lihat Komen
ADS