Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Upiak cermati lelaki cuba jadi pengganti suami

Meledak namanya dengan lagu Tak Tun Tuang, penyanyi Indonesia Upiak Isil mendedahkan sejak fenomena itu berlaku dia sering dihimpit ramai lelaki.

Mengakui dirinya memang sunyi tanpa teman, Upiak bagaimanapun berkata sebenarnya tidak semudah itu untuk dia menerima jodoh sekali lagi.

Justeru, kata Upiak atau nama sebenarnya Silvia Nanda, sebelum dinikahi seseorang, dia perlu menilai sama ada lelaki terbabit benar-benar ikhlas menginginkan dirinya, ataupun sekadar wangnya.

“Sejujurnya saya cuba mencari lelaki yang sesuai untuk jadi pengganti bekas suami.

"Memang makin ramai lelaki datang menghimpit tetapi saya perlu berhati-hati sebelum memilih,” katanya.

Upiak, 33, ditemui pada majlis pada majlis berbuka puasa bersama MVM Production dan Rusa Music di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Upiak yang kini berstatus janda, pernah berkahwin pada 2013 tetapi bercerai dua tahun kemudian.

Hati sedang ditawan

Perceraian berlaku ekoran tiada keserasian dengan bekas suami - yang kini sudah berkahwin baru - selain dituduh kurang siuman oleh ibu mentua kerana menyanyikan Tak Tun Tuang.

Ditanya bagaimana untuk mengenali ciri-ciri seorang lelaki yang tidak boleh dipercayai, Upiak berkata, biasanya pada awal perkenalan mereka akan menampilkan diri sebagai orang baik-baik.

“Mereka hanya berbuat baik pada awal, lama-kelamaan akan berubah seperti ada sesuatu tidak ikhlas,” katanya.

Berkongsi kisah itu, Upiak berkata, dia mengalami sendiri kejadian itu tahun lalu.

Katanya, dia mula menyedari perubahan sedikit demi sedikit lelaki yang sedang dikenali hati budinya itu selepas menyambut Aidilfitri bersama di kampungnya.

“Saya pulang untuk beraya bersama mak dia di kampung. Tapi di sana saya dapat menghidu sikapnya yang sebenar.

"Saya nasihatkan kepada wanita di luar sana, nak tahu sikap teman lelaki anda, kenali dirinya dan keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Upiak yang kini tampil berhijab mengakui hatinya sedang 'ditawan' seorang lelaki berperwatakan alim dari Padang, Sumatera yang dikenali sebagai Dezi Ilham.

Bagaimanapun, disebabkan fasa romantis itu masih baru berjalan - selain menjalinkan hubungan jarak jauh - Upiak berkata, dia lebih selesa untuk tidak terlalu menaruh harapan dalam hubungan tersebut.

Sementara itu, Upiak berkata, dia muncul dengan single terbaru, Kamera Palsu yang sudah dilancarkan di Indonesia, Oktober tahun lalu.

Lagu ciptaan sendiri itu menyindir golongan wanita yang gemar tampil cantik selepas menyunting foto sendiri menggunakan aplikasi telefon.

Lihat Komen
ADS