Paling Popular
Terkini

Meksipun belum berkesempatan menonton rakaman permohonan maaf Vida berhubung pertikaian isu hadiah berlian hari ini, penyanyi Aisyah tetap menunjukkan reaksi positif terhadap langkah diambil jutawan kosmetik itu.

Aishah menyambut baik permohonan maaf secara terbuka oleh Vida, yang dilakukan kira-kira jam 3 petang tadi melalui rakaman secara langsung.

“Dengar khabar dah mohon maaf. Kalau ya, oklah,” katanya kepada Malaysiakini menerusi aplikasi WhatsApp.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman membuat rakaman tersebut di kediamannya di Ipoh, Perak.

Pada sesi itu, Vida memohon maaf atas representasi salah ke atas hadiah barang kemas tambahan yang diberikan kepada pemenang program Gegar Vaganza 4 (GV4) itu.

Vida mengakui dirinya terkhilaf sewaktu mengumumkan harga barang kemas tersebut.

Pengumuman Vida yang juga penyanyi lagu I Am Me itu merupakan satu daripada tiga syarat hasil proses mediasi antara kedua-dua pihak di Mahkamah Sesyen Kuala lumpur Isnin lalu. 

Melalui kenyataan sama, Vida juga memaklumkan dia dalam proses membayar barang kemas yang sudah dipilih Aishah di kedai emas yang dicadangkan.

Bagi Aishah, 54, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, permohonan maaf oleh Vida dapat membantu memelihara profesionalisme penggiat seni.

“Ia mencatat sejarah dan memberi tanda aras baru bagi menjaga maruah dan integriti serta profesionalisme anak seni,” katanya.

Pada 3 Julai lalu, Aishah dalam satu sidang media menuntut Vida menggantikan barang kemas asli dengan harga pameran berjumlah RM80,000 pada atau sebelum 17 Julai ini.

Aishah juga diberi hak sepenuhnya untuk memilih mana-mana barang kemas dirasakan sesuai di sebuah kedai emas di Bangsar, Kuala Lumpur.

Selain itu, Vida diarah membayar kos sebanyak RM7,500 kepada peguam Aishah pada atau sebelum 7 Julai ini.

Sekiranya gagal memenuhi kesemua persetujuan tersebut sebelum tarikh ditetapkan, Vida boleh berdepan tindakan undang-undang.

Lihat Komen
ADS