Penyanyi dan pelakon dari Singapura Aliff Aziz didakwa di mahkamah Singapura atas dua pertuduhan mencuri hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa mencuri wang sebanyak SG$300 (RM900) dan SG$97.90(RM296) milik pelakon Indonesia, Raja Yunika Perdhana Putri.

Penyanyi Selayaknya Aku itu didakwa melakukan kejadian terbabit di dalam sebuah bilik di Hotel M Studio, Singapura antara jam 12 hingga 3 pagi 7 Jun lalu.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, turut menghadapi tuduhan mencuri sepaket rokok dan pemetik api bernilai $15.60 (RM47) secara keseluruhan milik seorang individu bernama Gurwinder Singh S/O Harwindar Singh di kafe Starbucks di Plaza Singapura.

Kejadian itu didakwa berlaku sekitar 4.45 pagi pada 6 Ogos 2018.

Berita Harian Singapura melaporkan, Aliff, 28, hadir di mahkamah pagi tadi bersama seorang rakannya.

Sebutan semula kes tersebut dijangka diadakan di mahkamah pada 1 Oktober depan.

Aliff yang juga popular dengan lagu Sayang Sayang itu dibebaskan dengan ikat jamin $5,000.