Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Meratapi nasib pekerja filem yang masih 'terjajah'

ULASAN | Pada 26 Ogos lalu - lima hari sebelum seluruh negara bergema dengan teriakan merdeka - ada satu khabar tergempar yang kononnya akan mengembirakan seluruh warga kerja industri filem di Malaysia.

Buat pertama kali selepas 62 tahun negara bertuah ini dilepaskan Inggeris, para pekerja filem negara ini diperkenalkan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Satu daripada 15 janji manifesto pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu akhirnya diumum dalam satu sesi townhall bersama penggiat industri filem bersiri yang diadakan di Petaling Jaya.

Khabarnya menjelang Januari 2020, lebih dari tiga puluh ribu para pekerja filem kita bakal akan merasa bagaimana nyaman dan lazatnya potongan gaji untuk dicarumankan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kalau diambil imperialisme sebagai definisi ukuran, barangkali kita semua masih belum pernah masuk ke daerah kemerdekaan. Kerana kekuasaan elitis penguasa yang masih gagah menjajah pemikiran demi kepentingan kedudukan kuasa, politik dan ekonomi yang berkepentingan.

Hinggakan seorang pengerusi bersama ketua pegawai eksekutif Finas tidak faham fungsi dan tugas masing-masing.

Barangkali ramai yang masih belum disedarkan bahawa ada terlalu ramai warga kerja filem di negara ini yang masih bergelumang dalam dunia melarat kemiskinan.

Bukan kerana selepas 62 tahun mereka belum merdeka tapi sebenarnya tak pernah kenal apa yang dinamakan sebagai caruman.

Nikah bagai permaisuri

Tetapi kerana Finas memang tidak pernah tahu - dan mahu - menjalankan fungsinya sebagai entiti memajukan industri perfileman.

Pekerja filem sebenarnya tidak sangat memerlukan caruman yang diumumkan pengerusi itu.

Apa yang lebih diperlukan ialah kewujudannya yang kukuh sebagai industri menjaminkan masa depan melalui struktur ekosistem industri filem yang lebih berdaya saing, berdaya tahan, menyeluruh, mesra pekerja, ekonomi dan perniagaan serta mapan.

Pekerja industri filem negara ini tidak sangat perlukan 15 janji manifesto yang sibuk mahu dirahsiakan itu, tetapi kewujudan dasar yang lebih fokus kepada bidang pekerjaan serta akta yang lebih jelas bagi menjamin hidup mereka.

Seorang penasihat kerajaan bergelar Tun tidak akan tahu ada kru filem di negara ini masih bekerja tidak mengikut jam, diberi makan nasi bungkus dan bersantap di bawah payung pasar malam di hujung simpang.

Menteri yang menempelak teguran PBB tentang betapa sia-sianya projek kereta terbang tidak akan tahu bahawa pekerja filem di negara ini bekerja tanpa kontrak perjanjian yang disahkan secara perundangan kerja yang standard dan seragam.

Hartawan yang bergelar datuk dan tengku tidak pernah tahu ada pekerja filem yang masih tidak dibayar gaji walaupun lepas setahun kerja itu disempurnakan.

Para bangsawan tidak akan faham penderitaan orang-orang seni yang hidup sebagai karyawan. Puncanya, kerana ramai artis yang mereka lihat bernikah bagaikan permaisuri dengan deretan macam-macam hantaran.

Artikel Mengharapkan Finas Memandaikan Masyarakat yang pernah dituliskan di ruangan ini dulu tentulah hanya picisan hanyir setelah melihat menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu sendiri tak cukup endah mendengarkan hujah rintihan YB Kapar membahas penderitaan para seniman dalam dewan.

Kerana itu stesen tivi bermaharajalela menuntut syarat yang bukan-bukan.

Begitulah naratif kemiskinan yang memang selalu diseleweng, disorok dan disembunyikan.

Suatu seni tentang nasib orang seni dalam negara merdeka yang sebenarnya tak pernah merdeka walau setelah 62 tahun negara ini bebas daripada cengkaman Inggeris.

Lihat Komen
ADS