Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anwar hiba teringat kenangan bersama Yazit
Diterbitkan:  Sep 26, 2019 3:44 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Pemergian bekas pemain dram kumpulan Search Yazit Ahmad hari ini bukan saja mengundang kesedihan anggota keluarga, sahabat handai dan peminat muzik tanah air, tapi juga dikongsi Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Anwar berkongsi berita hiba itu melalui akaun Facebook rasmi miliknya hari ini.

"Terima berita sedih bekas pemain dram kumpulan Search Yazit Ahmad meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Anwar turut menceritakan kenangan menziarahi allahyarham di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Ramadhan lalu.

"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga allahyarham. Semoga mereka diberi ketabahan dan kekuatan menempuh dugaan ini.

"Saya mendoakan roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," katanya.

Yazit pada waktu itu menyifatkan kedatangan Anwar ibarat suatu rahmat bahkan berasa terharu dengan kehadirannya di bulan mulia.

Yazit berkata demikian kerana hormatnya terhadap Anwar begitu tinggi dan disifatkan seperti seperti seorang pendekar politik.

"Apabila beliau menyatakan hasrat mahu berjumpa, pada ketika itu saya rasakan seolah-olah Allah kurniakan rahmat kepada saya.

“Bagi saya, ia perkara di luar kebiasaan kerana beliau sebelum ini merupakan bekas timbalan perdana menteri," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam kenyataan di Facebook menyifatkan pemergian Yazit sebagai kehilangan besar buat dunia seni negara.

"Terima kasih di atas ketukan melodi indah yang menggirangkan hari-hari kami selama ini. Terima kasih kerana memberi seribu inspirasi kepada pemuzik-pemuzik baru hari ini.

"Irama dan ketukan drum itu tetap akan diabadikan di sanubari rakyat dan penggemar muzik buat selamanya.

"Takziah saya ucapkan buat keluarga, dan kenalan Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya.

Yazit meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 11.53 pagi tadi di sisi isteri, anak dan anggota keluarga yang lain.

Allahyarham meninggal dunia ketika usianya mencecah 57 tahun.

Yazit yang sudah lebih tiga dekad dalam industri seni bertambah kritikal sejak dimasukkan ke HKL 3 pagi semalam oleh anaknya.

Yazit berdepan penyakit buah pinggang lebih 10 tahun lalu, sebelum diserang beberapa masalah lain hingga kerap keluar masuk hospital, selain menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Awal bulan ini, Yazit dimasukkan ke hospital selama dua hari disebabkan sesak nafas, tetapi dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan.

Lihat Komen
ADS