Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin, memberitahu selepas ini dia akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang masih melempar fitnah dan menjatuhkan maruah diri serta keluarganya di media sosial.

Siti berkata, langkah itu dirasakan cara terbaik bagi memberi pengajaran terhadap warganet agar tidak menyentuh isu sensitif, selain mengingatkan mereka supaya berhati-hati menulis komen.

“Kali ni saya tak akan beri muka pada netizen yang komen melampau hingga menjatuhkan maruah diri, anak, keluarga atau karier.

“Kita ada undang-undang yang mengajar orang seperti ini agar mereka tak berbuat sesuka hati.

“Jika perlu, tindakan undang-undang akan diambil dan kami juga akan bersemuka dengan pengguna maya terbabit,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Simplysiti Di Hati 2019 di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Siti mengulas demikian ketika beberapa rakan artis dilihat tampil mengambil tindakan undang-undang terhadap wira papan kekunci yang didapati meninggalkan komen berbaur negatif.

Mereka antaranya pelakon Jasmin Hamid yang memfailkan saman terhadap tiga individu kerana didakwa menghina anak angkatnya, Rohhana Abdul Hamid dengan gelaran bapuk.

Untuk beri pengajaran

Seorang daripada individu terbabit sudah mengaku kesalahannya dan memohon maaf - selain kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah.

Seorang lagi aktres, Rita Rudaini, membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Instagram yang mempersoalkan status sah taraf pada imej dua anaknya yang dimuat naik di media sosial iaitu Airit Rayyan Rizqin, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.

Pengurus Siti, Rozi Razak sebelum ini juga ada memuat naik hantaran menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada individu tidak bertanggungjawab melempar fitnah terhadap adik iparnya itu.

Katanya selama berkecimpung dalam dunia seni, pihaknya hanya mengambil sikap berdiam diri dan menutup mata terhadap setiap fitnah yang dilemparkan.

Siti sebelum ini pernah menerima kecaman warganet apabila beberapa pengguna media sosial meninggalkan komen berunsur negatif kepada anak perempuannya, Siti Aafiyah Khalid.

Selain itu, keakraban penyanyi Air Mata Ibu itu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengundang kecaman netizen.

Tambah Siti, tindakan undang-undang diambil Jasmin juga sebagai memberi peringatan agar warganet yang melempar tohmahan tidak berselindung dan mengambil kesempatan di sebalik penggunaan akaun palsu.

“Ia beri pengajaran kepada mereka agar lebih berhati-hati dalam memberi komen selepas ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS