Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit filem Mahathir dah dapat lampu hijau dari JPM

Penerbit Mahathir: The Journey mendakwa mereka sudah cuba berhubung dengan anak sulung Dr Mahathir Mohamad, Marina sebelum melaksanakan projek filem biopik mengenai perdana menteri.

Yusuf Kelana yang turut bertindak sebagai Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media Group, mendakwa usaha berkenaan belum membuahkan hasil disebabkan jadual kerja Marina yang tidak mengizinkan.

"Kami ada hubungi dia tapi tak berkesempatan untuk bertemu kerana dia sibuk," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Marina berkata, dia tidak mahu mana-mana pihak merakamkan kisah keluarganya walau dalam apa jua bentuk termasuk melalui filem. 

Menurut aktivis sosial itu, dia tidak mahu filem berkenaan menjadi sesuatu yang memalukan keluarganya.

Mengulas kenyataan Marina itu, Yusuf berkata, pihaknya terlebih dahulu mendapatkan kelulusan dari pejabat perdana menteri sebelum mengadakan pelancaran filem itu baru-baru ini.

Malah katanya, pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof, menjadi individu menyemak kesemua babak yang disiapkan untuk filem itu terlebih dahulu sebelum memberikan surat kelulusan.

Siapa lagi nak buat

"Kita ikut prosedur... tak ada buat perkara yang tak ada izin.

"Kami menerima surat kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertulis: Tiada halangan untuk menerbitkan Mahathir: The Journey.

"Selama tujuh bulan kami buat kajian dan berulang-alik ke JPM bagi membolehkan urusan membikin filem dijalankan," katanya.

Yusuf juga memberitahu Malaysiakini, pihaknya merombak skrip filem tersebut sebanyak 12 kali selepas berbincang dengan JPM.

Barisan pelakon dan penerbit filem Mahathir: The Journey.

Pada masa sama, katanya, syarikat Reliance Media Group turut berhubung dengan isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali untuk menguatkan lagi jalan cerita Mahathir: The Journey.

Namun kata Yusuf, Siti Hasmah meminta mereka berurusan secara langsung dengan JPM kerana secara kebetulan ada produksi lain sedang mengusahakan filem mengenai isteri Dr Mahathir itu.

"Beliau tak mahu nanti timbul kekeliruan," katanya.


Baca Filem baru Mahathir tak dapat restu Seri Perdana


Mengulas makluman kebenaran kepada watak-watak lain dalam filem berkenaan, Yusuf berkata, dia akan menghantar selewat-lewat minggu depan.

"Semua akan dimaklumkan minggu depan. Marina atau watak lain cuma sebahagian daripada subplot.

"Filem ni mengetengahkan kisah Dr Mahathir. Kita patut sokong perdana menteri.

"Beliau perdana menteri kita, kalau kita tak buat pasal dia, siapa lagi nak buat?" katanya.

Sementara itu, Marina yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp memberitahu beliau enggan memberi komen lebih lanjut.

"Cuma kami sekeluarga tidak menggalakkan filem-filem seperti ini," katanya.

Lihat Komen
ADS