Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Susilo dendangkan Seruling Di Lembah Sunyi buat arwah Ani
Diterbitkan:  Dec 3, 2019 6:17 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Enam bulan selepas kehilangan isteri tercintanya, bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menerbitkan satu klip video menunjukkan dia menyanyikan sebuah lagu khusus untuk wanita itu.

Berjudul Seruling Di Lembah Sunyi, Susilo mendedikasikan lagu berkenaan khusus buat Allahyarhamah Ani Yudhoyono - atau nama asalnya, Kristiani Herawati.

Menurut Susilo, kehilangan Ani amat dirasai.

“Genap setengah tahun pulangnya isteri tercinta Ani Yudhoyono. Kepergiannya meninggalkan duka dan rasa kehilangan yang amat dalam bagi saya dan keluarga.

"Saya tahu, para sahabat almarhumah juga merasakan kehilangan itu," tulisnya di Instagram Ani dengan menggunakan inisial yang memang popular buat dirinya, SBY.

Kata presiden keenam Indonesia itu, Seruling Di Lembah Sunyi itu adalah gambaran bagaimana dia mengenang dan mengungkapkan rasa cinta abadi kepada Ani - yang dianggap sebagai belahan jiwanya.

Lagu itu asalnya dicipta V Nanda Leimana dan digubah muzik selengkapnya oleh pemain gitar irama jazz Indonesia, Tohpati. Klip video itu diterbitkan secara rasmi pada Ahad lalu sempena memperingati enam bulan Susilo kehilangan Ani.

Tanda kasih sayang

Untuk rekod Susilo memang dikenali sebagai pemimpin dan ahli politik yang dekat dengan seni lagu. Di sebalik kesibukannya menjadi presiden dulu, dia sempat mencipta beberapa lagu.

Penyanyi lagu puisi terkenal negara itu, Ebiet G Ade, malah pernah mendendangkan lagu Susilo.

Melalui klip video Seruling Di Lembah Sunyi itu Susilo menyampaikan lagi tersebut denan latar belakang gambar-gambar pernah dirakam Ani.

Melalui hantaran sama, Susilo juga memaklumkan, bagi memelihara nilai, pemikiran dan warisan Ani, akaun Instagram milik bekas Wanita Pertama Indonesia itu akan diaktifkan semula tetapi dengan nama baru - Ani Yudhoyono In Memoriam.

Maklumat tertera pada akaun berkenaan juga memaparkan ia akan dikendalikan oleh Susilo dan kumpulannya.

“Sebagai kasih sayang dan penghormatan kepada Ibu Ani, mulai hari ini, saya dan keluarga mengaktifkan kembali akun instagram ini dengan nama Ani Yudhoyono In Memoriam.

“Insya-Allah, kami akan terus melestarikan dan menghidupkan berbagai nilai, pemikiran dan legasi almarhumah. Semoga ini semua dapat menghidupkan kenangan manis dan mengubati kerinduan kita kepada Almarhumah Ani Yudhoyono," katanya.

Sementara itu, pembantu Susilo, Ossy Dermawan mengesahkan pengaktifan akaun Instagram Ani.

Ani Yudhoyono, 66, meninggal dunia akibat kanser darah di Singapura.

Dilahirkan pada 6 Jun 1952, Ani Yudhoyono menjadi wanita pertama Indonesia semasa pemerintahan suaminya bagi tempoh 2004 hingga 2014.

Susilo dan Ani berkahwin selama 43 tahun dan pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, iaitu Agus Harimurti dan Edhie Baskoro.

Lihat Komen
ADS