Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Apa ada dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)?

Belum reda isu-isu panas membelenggunya, muncul pula spekulasi menyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu, Ahmad Idham, direhatkan daripada tugasnya.

Sehingga kini kedudukan pengarah dan pelakon terbabit masih belum jelas. Malah ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad Idham enggan mengulas banyak.

Cuma pengarah dan penerbit filem Gangster Celop itu berkata, setakat ini dia masih lagi menduduki jawatan CEO Finas.

“Saya masih CEO Finas hinggalah ada kenyataan rasmi menyatakan yang sebaliknya dikeluarkan,” katanya.

Spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Idham itu dikatakan muncul sejak Selasa lalu.

Namun, hingga ke hari ini, tiada sebarang kenyataan rasmi diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ataupun oleh menterinya, Gobind Singh Deo.

Bagaimanapun pemilik nama penuh Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu dipercayai direhatkan daripada menjalankan tugasnya. Khabar itu tersebar ketika sesetengah pihak terus menjadi pengkritik tegar Ahmad Idham kerana dilantik ke jawatan penting berkenaan.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Idham, 45, dia bersedia menjawab berhubung spekulasi terbabit selepas menerima kenyataan rasmi daripada KKMM.

“Saya tak boleh keluarkan sebarang kenyataan. Setakat ni belum ada pengumuman rasmi. Kena tunggu, baru saya boleh respons,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Idham hari ini dinaikkan pangkat daripada leftenan kolonel bersekutu Pertahanan Awam (PA) kepada kolonel pagi tadi.

Majlis pemakaian pangkat pegawai bersekutu Anggota Pertahanan Awam itu disempurnakan ketua pesuruhjayanya, Roslan Wahab, di Bangi.

Lihat Komen
ADS