Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mementaskan persembahan teater 'Semarak PertiwiKu' di Istana Budaya dalam usaha mendidik rakyat menentang gejala rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata pementasan yang bakal berlangsung selama dua hari pada 30 dan 31 Januari merupakan pendekatan berbeza yang diambil dengan tujuan menyampaikan mesej bahawa rasuah membinasakan negara.

"Agenda penganjuran ini jelas iaitu usaha kerajaan bersama SPRM membanteras rasuah kerana elemen dan mesej yang akan disampaikan dalam teater itu mempunyai kaitan dengan masalah sosial yang berlaku pada masa ini.

"Melalui teater ini kita akan dapat saksikan bagaimana ketamakan terhadap rasuah membawa kepada keruntuhan kepada sebuah kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Istana Budaya hari ini.

Ditanya sama ada naskah tersebut merupakan karya fiksyen ataupun terdapat elemen kes-kes rasuah yang pernah berlaku, Latheefa berkata penonton perlu menilai sendiri isu yang cuba ditonjolkan.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani menyuarakan sokongan terhadap usaha kerajaan dalam membanteras gejala rasuah.

Selaras usaha itu, Juhari menjanjikan kelainan dalam pementasan pembuka tirai Istana Budaya tahun ini.

"Kelainannya kerana (karya ini) datang dari satu agensi yang kali pertama membawa naskah yang sangat menarik ke pentas Istana Budaya," katanya, merujuk kepada SPRM.

"Kami amat menyokong usaha kerajaan yang mahukan negara bersih dari rasuah," tegas Juhari.

Dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), teater arahan Muhammad Azri Ali tersebut bakal menggandingkan pelakon Ungku Ismail Aziz serta Sherie Merlis sebagai teraju utama.

Sementara itu Muhammad Azri berkata, naskah asal teater Semarak PertiwiKu yang menampilkan dialek Sarawak berjaya dipentaskan pada Julai tahun lalu di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Sarawak.

"Saya diminta mengarahkan sebuah teater yang menjelaskan tentang isu integriti.

"Alhamdulilah pementasan mendapat sambutan dengan kehadiran ramai pada tahun lepas," jelas Muhammad Azri yang juga merupakan pensyarah program teater dan drama di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas.

Bawa watak hero dan penjahat

Dalam pementasan di Sarawak, watak utama 'Dato Shah' dibawakan oleh aktor Azhan Rani.

Digambarkan sebagai individu yang secara "tidak sengaja" terjebak dengan kegiatan rasuah, Ungku Ismail mengaku teruja dipilih sebagai pengganti Azhan.

"Pertama sekali saya hendak ucapkan jutaan terima kasih kepada SPRM dan juga Unimas kerana sudi memilih saya sebagai pelakon utama.

"Dari segi watak, sayalah hero, sayalah juga penjahat. Saya tak nak cakap lebih lagi," katanya.

Selain wajah baru, teater Semarak PertiwiKu turut mengekalkan barisan pelakon sedia ada seperti Anding Taufik Hanafi, Chopie Cakap dan Shah Kimin.

Pementasan teater Semarak PertiwiKu adalah percuma dengan 2,000 tiket disediakan oleh pihak Istana Budaya bagi dua malam pementasan pada Jan 30 dan Jan 31.

Lihat Komen
ADS