Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kilafairy tinggalkan dunia seksi
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 8:43 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Bagi sesetengah orang, perkataan seksi itu membawa makna yang subjektif.

Bagi penyanyi, pelakon dan usahawan, Kilafairy, dia juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap istilah seksi.

Memang diketahui ramai anak kepada artis penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil, itu bagaikan tidak boleh dipisahkan dengan sisi seksi.

Kilafairy atau nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan itu sendiri pernah diberi jolokan Angelina Jolie Malaysia suatu ketika dulu.

Namun, jika ada yang menyedari, di laman Instagram miliknya Kilafairy sebenarnya sudah ‘berubah’. Lebih tepat perkongsian gambarnya juga tidak seperti kebiasaan.

Tidak kurang juga yang mengandaikan perubahan imej itu disebabkan hatinya yang sedang berbunga mengenali jejaka bernama Sa’aid Umar Aiman dan kononnya sedang menuju ke fasa perkahwinan.

“Ya. Pastinya perubahan itu seiring dengan kematangan diri. Ia seperti isyarat atau panggilan kepada diri sendiri untuk tak seksi. Dalam hidup ini kita sentiasa berusaha mahu jadi lebih baik dan memperbaiki diri.

Step by step... (langkah demi langkah) insya-Allah. Berkat doa ibu bapa juga. Sempena tahun baru, 2020 ini saya mahu mulakan sesuatu yang segar dan bersih.

“Saya cuba elak atau tak mahu lagi orang di luar sana nampak diri ini dengan terjemahan seperti ... oh badan dia cantik mahupun seksi!,” katanya dalam satu kenyataan.

Tetapkan misi baru

Penyanyi lagu Put The Word In itu berkata dia lebih selesa orang melihatnya dari sudut bakat yang dimiliki dan pada masa sama berusaha untuk terus menjadi usahanita berjaya.

“Saya mahu jadi insan yang lebih baik. Sebenarnya sudah tujuh bulan saya cuba menjaga penampilan dan sebagainya. Lagipun saya bukan makin muda.

“Lebih mengujakan perkara ini tanpa diduga membuka mata sendiri dan pasukan saya mengenai visi dan misi perniagaan kami,” katanya.

Tambahnya lagi, soal menjaga penampilan, bentuk badan mahupun kecantikan bukan semata mata dilihat dari luaran.

"Bab dalaman juga harus dititikberatkan. Saya sendiri apabila mendengar banyak cerita di sekeliling terutama mengenai hal sakit tenat dan berita kematian di usia muda atau meninggalkan anak yang masih kecil, hati ini terpalit rasa sedih yang amat.

“Malah menerusi pengamatan dan pembacaan, kes kematian kerana berat badan berlebihan juga antara yang cukup membimbangkan. Tiada jaminan dan kompromi dalam bab ini.

"Hal sebegini terus menggerakkan saya dan pasukan kerja menetapkan misi baru untuk membantu orang di luar sana mencegah masalah kesihatan akibat berat badan berlebihan selain mengajak peminat menjana pendapatan," katanya.

Lihat Komen
ADS