mk-logo
Seni & Hiburan
Akhirnya karya Ahmad Fuad kembali dinaikkan
Diterbitkan:  Feb 16, 2020 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Akhirnya kemelut yang membelenggu pameran At The End of the Day, Even Art is Not Important bakal berakhir selepas Balai Seni Negara bersetuju untuk mengembalikan semula keadaan seperti asal.

Dalam satu kenyataan hari ini, Balai Seni Negara berkata, semua empat karya Ahmad Fuad Osman akan dipamerkan semula sehingga pameran berkenaan tamat akhir bulan ini.

"Empat karya Ahmad Fuad bertajuk Untitle 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain 2004 dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik akan dinaikkan semula sehingga tamat pameran pada 29 Feb 2020," kata kenyataan tersebut.

Pameran berkenaan - yang dimulakan pada 28 Nov tahun lalu - menjadi perhatian apabila empat daripada karya yang ada tiba-tiba diturunkan Balai Seni Negara.

Ahmad Fuad kemudian menyatakan bantahannya dan meminta agar pameran tersebut ditamatkan juga kerana berpendapat ia sudah dikompromi ekoran langkah diambil Balai Seni Negara.

Ia juga mengundang rasa tidak puas hati peminat seni kerana karya tersebut sudah terpapar di Balai Seni Negara selama berbulan-bulan dan diturunkan hanya kira-kira dua minggu sebelum berakhir.

Balai Seni Negara pula berkata badan itu berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara serta mengelak ia disalah erti.

“Pameran merupakan suatu proses dan ianya bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.

"Proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita," katanya.

Perkembangan itu juga menyaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, campur tangan dengan menasihatkan anggota Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara bermesyuarat.

Beliau juga menasihatkan agar karya Ahmad Fuad dikembalikan seperti asal.

Balai Seni Negara berkata pihak mereka juga akan mengadakan program sokongan bersama pelukis dan kurator pameran pada 21 Feb ini.

"Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta supaya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pameran berkenaan," katanya.

Pameran itu dibuka setiap hari, dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Lihat Komen
ADS