Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat tak pernah insaf, kata Mujahid
Diterbitkan:  Feb 17, 2020 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Mujahid Yusof berkata perbuatan "mempamerkan perlakuan yang tidak senonoh boleh menimbulkan kebejatan di dalam moral" tanpa mengira sesiapa, termasuklah usahawan kosmetik Nur Sajat.

"Apatah lagi Sajat, lagi lah menjadi tumpuan dengan aksi-aksinya yang dipamerkan dan dipertontonkan kepada orang awam.

"Itu dari segi syariat dah tak kena," katanya pada suatu rakaman video pendek, terbit di akaun Facebooknya.

Menjelaskan lanjut, Mujahid berkata perbuatan Sajat telah menjadi perbualan masyarakat selama bertahun-tahun dan dia seakan tidak pernah mengambil iktibar.

"Sajat yang memperagakan pakaian dan aksi yang memalukan budaya serta norma dan aksi lembut melampau yang bertentangan dengan syariat serta penciptaan seorang lelaki telah ditegur masyarakat dan netizen sejak 2013 lagi.

"Namun, dia seolah-olah tidak pernah merasa insaf atau pun dia nak baiki diri dia.

"Malah dia semakin lagi galak yang menunjukkan dia tidak kisah semua ini dan tidak ada perkiraan langsung kepada sensitiviti masyarakat," katanya.

Mujahid menjelaskan perkara itu dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 13 Feb lalu memaklumkan pihaknya sudah memohon kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu berhubung identiti usahawan kosmetik kontroversi Nur Sajat.

Ketua Pengarahnya, Paimuzi Yahya mengulas demikian apabila Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berkata, dia sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Jakim agar diberi panduan yang jelas dan terperinci berhubung isu terbabit.

Usahawan kosmetik itu dilaporkan mengaku dia tidak tahu siapa perlu dirujuk bagi menyelesaikan isu identitinya selepas tercetus kontroversi ketika mengerjakan umrah.

Justeru, kata Nur Sajat, dia sedia bertemu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar mudah diberi panduan yang jelas lagi terperinci berhubung isu terbabit.

Terdahulu, tindakan Nur Sajat memakai telekung ketika mengerjakan ibadah umrah dan berkongsi perkembangannya di Tanah Suci melalui media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kontroversi terbabit menarik perhatian pelbagai pihak termasuk mufti malah mencetuskan kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) sekiranya Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia.

Namun, Nur Sajat mendakwa, sebelum ini dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identiti dirinya kepada pihak berkuasa, tetapi alasan diberikan adalah kesnya itu berprofil tinggi.

Lihat Komen
ADS