Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff Syukri kini bersahabat dengan Ali Puteh
Diterbitkan:  Mar 20, 2020 9:31 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Enggan memanjangkan perseteruan antara mereka, usahawan kosmetik Aliff Syukri akhirnya mengadakan pertemuan dengan adik Allahyarham Abam Bocey, Ali Puteh hari ini.

Kata Aliff, tujuan utama dia berjumpa Ali adalah untuk menamatkan konflik yang pernah terjadi kerana menembual balu Abam, Nor Hidayah Mohd Ali.

"Hari ni saya berjumpa dengan Ali Puteh dan Alhamdulillah, Ali dengan saya sudah berdamai," katanya di Instagram hari ini.

Menurut Alif, pada pertemuan yang julung kali diadakan itu juga, Ali banyak memberikan kata-kata semangat buatnya selain kini menganggap adik Abam itu sebagai seorang sahabatnya.

"Dan kami berjumpa buat kali pertama, Ali memberikan kata-kata semangat kepada saya. Saya juga menjadi kawan kepada Ali.

"Saya berharap sangat kami boleh menjadi kawan dan tiada sengketa (lagi) antara kami," katanya.

Februari lalu, Aliff yang juga penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu mencetus kontroversi apabila didakwa mengajukan soalan yang kurang wajar kepada Nor Hidayah dikatakan berkaitan konflik dalaman keluarga Ali dan harta pusaka peninggalan Abam.

Pertanyaan itu kemudian mengundang kemarahan Ali hingga dia memuat naik kata-kata kesat terhadap Nor Hidayah di akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun, Aliff menafikan setiap dakwaan tersebut, manakala Ali mengadakan satu sidang media bagi membersihkan namanya selain meminta maaf kepada kakak iparnya itu.

Pada sidang media sama, Ali juga menuntut agar Aliff segera bertaubat kerana secara tidak sengaja bertindak memecah-belah silaturrahim yang terjalin antara mereka sekeluarga dan Nor Hidayah.

Selepas menerima pelbagai kecaman, Aliff akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada Nor Hidayah dan Ali.

Sementara itu, Aliff berkata, dia merancang untuk mengunjungi kediaman Ali selain bertemu keluarganya.

"Apa pun, jika ada masa, insya-Allah saya akan pergi ke rumah Ali dan berjumpa keluarga Ali. Saya harapkan yang terbaik untuk mereka, amin, amin Ya Rab," katanya.

Lihat Komen
ADS