Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PU Abu buat TikTok sindir menteri
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 6:43 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan hari ini memuat naik rakaman aksi menari aplikasi TikTok di akaun Instagram miliknya.

Tindakan itu dibuat bagi menyindir Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Noraini Ahmad yang menganjurkan pertandingan bagi menyerlahkan daya kreativiti dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kapsyen (keterangan) tu lebih kepada memerli tindakan menteri Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Abu memuat naik kenyataan itu sebagai memberi penjelasan selepas rakaman TikTok - melalui hantaran berbeza - dilihat ‘memakan’ diri sendiri.

Semalam, Abu memuat naik video TikTok bersama beberapa individu lain termasuk seorang kanak-kanak dipercayai anggota keluarganya sambil menari dengan penjelasan tarian berkenaan sebagai menyahut cabaran menteri.

“Bersempena saranan Menteri Pengajian Tinggi kita, saya menyahut untuk buat cabaran TikTok yang mungkin melambangkan kecerdikan saya dalam akademik. Jangan lupa untuk sahut cabaran ini ye korang," katanya.

Dalam keterangan sama, Abu turut menjelaskan, tindakannya itu sebenarnya untuk suka-suka selain meminta orang ramai agar tidak salah faham.

“Kadang-kadang TikTok ni saja boleh asah daya kreativiti anda malah boleh merapatkan hubungan silaturrahim,” katanya.

Namun, pengguna alam maya berpendapat, sikap Abu berkongsi video TikTok sebenarnya tidak wajar disebabkan gelaran Pencetus Ummah yang disandangnya.

Turut menjadi pertikaian apabila Abu menggunakan nama Pencetus Ummah Abu untuk aplikasi akaun TikTok miliknya itu.

“Buanglah username Pencetus Ummah kau tu Abu. Kau tak layak,” kata pengguna akaun @nickfyrooz.

Mengulas perkara itu, Abu berkata, dia sebenarnya malas untuk menyunting nama akaun berkenaan kerana ia telah diatur secara automatik.

“Bab nickname tu aku malas nak sunting sebab automatik ikut aku punyai Apple ID.

“Aku buat untuk suka-suka, baru muat turun dua hari lepas nak happy, happy dengan keluarga katakan,” katanya yang pada masa sama memohon maaf seandainya perkongsiannya itu mencetus rasa kurang senang banyak pihak.

Noraini sebelum ini menerima kecaman hebat selepas mempromosi pertandingan TikTok bagi menyerlahkan daya kreativiti dalam kalangan pelajar IPT .

Pengguna Internet menyifatkan perkara itu tidak harus menjadi keutamaan menteri, malah tidak bersesuaian apabila masyarakat Muslim menyambut malam Nisfu Syaaban.

Selepas mengundang rasa tidak senang ramai pihak, hantaran yang dimuat naik di media sosial Noraini itu kemudian diturunkan.


 

Lihat Komen
ADS