Pelakon carta atas Bollywood, Shah Rukh Khan, sekali lagi melibatkan dirinya dalam projek amal. Kali ini dia menyumbangkan 25,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas kesihatan Maharashtra yang bergelut mengekang wabak Covid-19 di negeri itu.

Menteri Kesihatan dan Kebajikan Keluarga Maharashtra, Rajesh Tope, berkata sumbangan aktor terbabit memang banyak membantu meringankan pekerja penjagaan kesihatan.

“Terima kasih kepada Shah Rukh Khan atas sifat dermawan kamu menyerahkan 25,000 set PPE. Ia akan membantu kita memerangi Covid-19 dan melindungi keselamatan petugas perubatan,” ciapnya di Twitter.

Membalas ciapan tersebut, pelakon Kabhi Kushi Kabhi Gham itu berkata, semua orang sedang bersatu-padu berjuang menentang pandemik Covid-19.

“Kita semua bersama-sama dalam usaha ni untuk melindungi diri dan kemanusiaan. Semoga keluarga, dan pasukan kamu selamat dan sihat,” ciapnya. 

Shah Rukh atau lebih dikenali SRK pada 2 April lalu mengumumkan pelbagai inisiatif bakal dilakukan bagi membantu meringankan beban kerajaan ketika berdepan krisis berkenaan.

Dia sebelum ini menyumbang makanan percuma selain menawarkan pejabat empat tingkat miliknya bagi kemudahan merawat pesakit Covid-19. 

India mencatatkan kes positif Covid-19 sebanyak 9,272 dengan 353 kes kematian dan 1,189 berjaya disembuhkan.