Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Royalti: Farahdhiya rasa sekali, Kathy cuma dapat ratusan ringgit
Diterbitkan:  Nov 27, 2020 3:16 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Farahdhiya mendakwa sejak menceburi bidang seni suara 16 tahun lalu, baru sekali dia dapat merasa duit royalti hasil titik peluhnya.

Justeru, kata penyanyi itu, sudah sampai masanya pihak bertanggugjawab mencari jalan penyelesaian untuk melunaskan hak-hak penyanyi berhubung isu royalti yang ketika ini masih berpanjangan.

“Alhamdulillah. Sejujurnya saya yang baru 16 tahun dalam industri hiburan ni baru sekali sahaja dapat merasa duit royalti sebagai penyanyi. Ya, sekali sahaja dalam 16 tahun.

"Sila kembalikan hak hak kami semua kepada yang berkenaan. Semoga ada penyelesaian untuk kami semua. Sudah tiba masanya,” katanya di media sosial.

Farahdhiya, 36, yang turut bergiat dalam bidang lakonan itu mengulas demikian susulan laporan media mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu royalti RM30 juta untuk artis yang didakwa tidak dibayar kepada pihak yang sepatutnya.

Pemilik nama penuh Farahdhiya Mohd Amin itu berkata, dia sebelum ini pernah menghubungi individu dalam sebuah syarikat yang menguruskan kutipan royalti hak cipta lagu untuk bertanyakan haknya, namun gagal menemui penyelesaian.

“Ada juga saya mesej bertanya kepada dia tapi tak berjawab. Bila nak panggil mesyuarat untuk dapat sokongan atau isi borang, pandai pula dia cari kita,” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan SPRM menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis pada 25 Nov lalu bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat yang diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Masa untuk bandan tunggal

Sementara itu, seorang lagi penyanyi senasib, Khadijah Ibrahim, pula mendakwa dia hanya menerima beberapa ratus ringgit saja duit royalti daripada sebuah badan kutipan.

“Sehingga sekarang, 20 tahun selepas Akta Hak Cipta dipinda untuk memberi hak kepada artis saya hanya dapat beratus ringgit sahaja royalti,” katanya.

Atas alasan itu, penyanyi yang lebih dikenali sebagai Kathy itu menyatakan sokongan jika diwujudkan badan kutipan tunggal bagi mengelak timbul kekeliruan atau wujud kelemahan dalam sistem pengurusan.

“Sudah tiba masanya hanya satu badan diwujudkan untuk memperjuangkan hak royalti artis. Saya menyokong penuh usaha untuk kembalikan Music Rights Malaysia (MRM) sebagai badan tunggal yang mengutip royalti.

“Semuanya berjalan lancar sebelum ni. Saya berharap kerajaan tidak akan membenarkan orang tertentu yang tamak untuk musnahkan satu sistem yang baik, telah dibuktikan sebelum ini.

“Kerajaan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) harus tegas dalam hal ini,” katanya yang turut menyokong penuh usaha Presiden Karyawan Freddie Fernandez untuk menyelesaikan masalah royalti artis.

Untuk rekod, MRM diwujudkan hasil gabungan empat badan pelesenan muzik bagi mencari kaedah baru untuk menentukan pengagihan royalti muzik dilaksanakan secara adil dan saksama.

Berkuatkuasa 1 Januari tahun lalu, MRM diwujudkan hasil gabungan MACP, PPM, RPM dan PRISM.

Badan itu dibubarkan awal Julai lalu atas alasan tidak dapat berfungsi sebagai badan pelesenan muzik kolektif akibat cabaran yang tidak dapat diatasi dalam mendapatkan kata sepakat antara badan pelesenan mengenai hal operasi.

Lihat Komen
ADS