Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah sudah dijelaskan, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful mungkin terpaksa bermalam sekurang-kurangnya satu malam lagi di dalam lokap.

Kali ini kerana Syed Shah Iqmal - atau lebih dikenali sebagai Dai Syed - diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar, berkata wang ikat jamin Syed Shah Iqmal dibayar abang bekas peserta program realiti televisyen itu di Petaling Jaya.

"Untuk bayaran ikat jamin di mahkamah Shah Alam pula ia dibuat oleh saya," katanya.

Menurut Mohd Aizat pihak berkuasa mengarahkan Syed Shah Iqmal menjalani ujian saringan kerana keadaan semasa yang menyaksikan ancaman Covid-19 masih belum reda.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bekas peserta program televisyen bercorak keagamaan itu terpaksa bermalam di pusat tahanan reman sementara di Beranang, Selangor mulai 10 Dis lalu kerana wang ikat jamin tidak sempat dijelaskan sebelum pejabat ditutup. 

Syed Amirul Syed Edros yang menjadi peguam Syed Shah Iqmal berkata, pihaknya terkilan kerana pertuduhan ke atas penyanyi itu dimulakan agak lewat sehingga abang dan pengurusnya tidak sempat membayar wang ikat jamin di mahkamah.

Syed Shah Iqmal, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Dia juga dihadapkan dengan pertuduhan rogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Untuk pertuduhan cabul, mahkamah membenarkan Syed Shah Iqmal diikat jamin sebanyak RM5,000 dan bagi pertuduhan seks luar tabii RM20,000 manakala bagi rogol RM10,000.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu Syed Shah Iqmal tidak menganggu mangsa.

Menurut Mohd Aizat lagi, mereka membawar wang jaminan tersebut kira-kira jam 11.30 pagi tadi dan kini masih menunggu keputusan mahkamah berhubung pembebasan Syed Shah Iqmal.

“Mungkin esok keluar kalau dipermudahkan, insya-Allah. Cuma itu belum dapat dipastikan lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS