Malaysiakini
SENI & HIBURAN

TV3 tiada rancangan terbit semula Dai Pendakwah Nusantara

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Dis 2020, 1:34 pagi

Stesen penyiaran TV3 memang tidak bercadang untuk menerbitkan semula program realiti berunsur keagamaan Dai Pendakwah Nusantara dalam masa terdekat.

Menurut TV3, program berkenaan sudah tidak menerbitkan sebarang bentuk program baru yang berkaitan selepas ia melabuhkan tirainya tiga tahun lalu.

“Tiada perancangan untuk menerbitkan Dai Pendakwah Nusantara dalam masa terdekat selepas musim terakhir program tersebut berakhir pada tahun 2017,” katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini program berkenaan menjadi perhatian ramai selepas seorang bekas pesertanya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan merogol, mencabul dan melakukan hubungan seks luar tabii.

Sebelum itu sekurang-kurang sembilan laporan jenayah serangan seksual dibuat kepada polis membabitkan Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful itu.

Bagaimanapun, setakat ini, dua daripada laporan tersebut tiada tindakan lanjut atau NFA.

Syed Shah Iqmal atau lebih dikenali sebagai Dai Syed yang berkelulusan bidang pengajian Islam dan bahasa Arab di Ma'ahad Buuth Islamiyyah, di Kaherah Mesir menduduki tempat keempat pada musim keempat program itu berlangsung pada 2016.

Setakat ini dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Syed Shah Iqmal, 25, juga berdepan dengan pertuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, pendakwah, penyanyi dan pelakon itu dibenarkan ikat jamin sebanyak RM35,000 berserta syarat tambahan tidak menganggu mangsa.

Bagaimapun, Syed Shah Iqmal terpaksa bermalam di pusat tahanan reman sementara di Beranang, Selangor selama tiga hari mulai 10 Dis lalu wang ikat jamin tidak sempat dijelaskan sebelum pejabat ditutup.

Semalam, Malaysiakini melaporkan walaupun bayaran ikat jamin sudah dijelaskan, Syed Shah Iqmal masih perlu bermalam sehari lagi di lokap sebelum dibebaskan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 

Awal Disember lalu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan garis panduan bagi penganjuran program realiti agama pada masa depan.

Katanya, garis panduan tersebut bertujuan memberi pemahaman yang baik dan panduan bersyarat bagi penganjuran program berkenaan. 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.