Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Baju dibeli dengan duit, bukan dengan air liur...'

Terkilan dengan jawapan Rizman Ruzaini, syarikat Cyrstal C White berkata jenama duo itu tidak patut melatah dalam isu busana ‘muslimah seksi’ dipakai duta produk mereka, Natasha Hudson.

Menurut rakan kongsi Cyrstal C White, Nor Shahlina Abu, sebagai jenama pereka fesyen yang terkenal mereka tidak sewajarnya menghentam balik pembeli mahupun pemakai koleksi yang dihasilkan.

“Rizman Ruzaini tak patut hentam balik siapa pun yang pakai baju rekaan mereka termasuklah Natasha.

"Rekaan baju tu dianggap kontroversi sebab kononnya ia mendedahkan bahagian bahu dan betis.

“Namun, pakaian tersebut mempunyai lapik iaitu ada lapisan dalam (lining) dan bukannya mendedahkan bahu (bare shoulder).

“Rizman Ruzaini juga marah dan seolah-olah macam hina sangat Natasha menggayakan busana rekaan mereka. Jawapan diberikan memang seperti menghentam dan menghina,” kata Nor Shahlina.

Terdahulu, Rizman Ruzaini mengakui sangat terkejut dan terkilan saat mengetahui koleksi rekaan mereka itu dipakai selebriti bertudung.

Minta hormati pembeli baju

Mereka berpendapat penatarias yang menyiapkan busana untuk dipakai Natasha perlu lebih teliti dan peka dengan imej wanita yang bertudung kerana ia sebenarnya direka untuk wanita tidak bertudung.

Kata mereka, hal itu perlu bagi menjaga sensitiviti masyarakat setempat.

“Sebagai pereka baju tersebut, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seorang yang berhijab.

“Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizaman Ruzaini yang telah bertapak sejak 15 tahun lalu.

“Sejujurnya saya marah juga apabila mendapat tahu dia (Natasha) yang memakai baju itu kerana dia berhijab,” katanya. 

Nor Shahlina berkata, sebagai pereka fesyen, Rizman Ruzaini sepatutnya bersifat neutral.

“Baju tu dibeli dengan duit dan bukan dengan air liur. Ia juga bukan busana yang mereka taja.

“Hormat sikit pembeli baju itu (merujuk kepada dirinya sendiri). Mereka peniaga yang menjalankan perniagaan fesyen sepatutnya faham dengan konsep pelanggan selalu betul (customer is always right),” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS