Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Petisyen desak Neelofa dipenjara dilancar dalam talian
Diterbitkan:  May 19, 2021 8:37 PM
Dikemaskini: May 22, 2021 9:17 AM

Selepas Neelofa beberapa kali mencuri perhatian ramai dalam isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, satu kempen dalam talian digerakkan untuk mendesak pihak berkuasa lebih tegas ke atas selebriti berkenaan.

Kali ini ada kempen mengumpul sokongan orang ramai untuk meminta kerajaan mengenakan hukuman penjara ke atas pengacara dan usahawan terbabit.

Gerakan itu berlaku ketika Neelofa masih disiasat atas dakwaan melanggar SOP rentas negeri kerana membeli karpet di Nilai 3, Seremban serta dituduh berkumpul beramai-ramai semasa 1 Syawal lalu.

Petisyen ditujukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mendesak pasukan keselamatan mengenakan hukuman yang dirasakan setimpal buat seseorang yang melakukan kesalahan berulang.

Ia juga dianggap sebagai simbolik kepada pihak berkuasa agar tidak mengamalkan undang-undang yang berbeza di antara orang awam dan kenamaan atau terkenal.

“Neelofa merupakan seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.

“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang double standard dikenakan terhadapnya.

“Berdasarkan kesalahan-kesalahan berulang ini, kami desak kerajaan Malaysia dan PDRM untuk segera memenjarakan Neelofa tanpa kompromi sebagai isyarat jelas kerajaan tidak amalkan undang-undang double standard kepada VVIP dan orang kenamaan,” menurut petisyen tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang bertanggungjawab atas hal ehwal PDRM turut dinamakan dalam petisyen dimulakan individu menggunakan gelaran Hentikan Double Standard itu.

Setakat laporan ini ditulis pada jam 8.15 malam ini lebih 2,700 tandatangan dikumpulkan.

Untuk rekod, Neelofa sebelum ini dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengamalkan penjarakan sosial sewaktu majlis perkahwinannya dengan Haris Ismail.

Kejadian berlaku pada 23 Mac lalu itu turut menyebabkan 20 lagi anggota keluarga pelakon itu menerima kompaun RM1,500 setiap seorang.

Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor dan Haris kemudian dikompaun bagi jumlah RM10,000 atas kesalahan melanggar kebenaran merentas negeri kerana ke Langkawi selepas pernikahan mereka.

Untuk dakwaan melanggar SOP sempena hari raya pada 1 Syawal lalu, Neelofa serta sembilan lagi anggota keluarganya sudah memberi keterangan kepada polis Brickfields, Kuala Lumpur semalam.  

Lihat Komen
ADS