Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Saman fitnah: Siti Nordiana tuntut pampasan bernilai RM1 juta

Selain permohonan maaf secara terbuka, penyanyi terkenal Siti Nordiana turut menuntut lima individu yang didakwa memfitnahnya membayar RM200,000 setiap seorang sebagai syarat menyelesaikan kes berkenaan.

Lima individu yang dituntut Siti Nordiana itu ialah penyanyi Lan Solo dan isterinya, Nur Shiela Hassim, penyanyi Syura Badron, Pegawai Perhubungan Awam FMC Sam Samin, serta jurusolek, Aida G.

Mereka mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada Siti Nordiana.

Menurut Sam, dalam surat tuntutan penyanyi lagu Angkara itu meminta mereka membuat kenyataan terbuka memohon maaf dalam tempoh 24 jam berserta syarat lain selain bayaran sebanyak RM200,000 setiap seorang.

Notis tuntutan bertarikh 26 Julai itu juga, kata Sam, menyatakan perasaan dukacita Siti Nordiana terhadap mereka kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam sebuah sesi siaran langsung di Instagram.

Malaysiakini pada 28 Julai lalu melaporkan, pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu bertekad meneruskan tindakan saman selepas kelima-lima individu terbabit tidak membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam diberikan.

Kata Siti Nordiana, 36, tindakan saman tersebut akan difailkan selewat lewatnya pada 2 Ogos ini. 

Dia yang turut popular dengan lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit turut membuat satu laporan polis terhadap kelima-lima mereka bagi menafikan yang dibuat dalam sesi Instagram live tersebut.

Menurut Sam, mereka sudah memaklumkan serta menyerahkan surat tuntutan tersebut kepada peguam yang mewakili mereka iaitu Alan Razak untuk tindakan susulan.

“Hanya setakat ini sahaja kenyataan yang dapat kami berikan,” katanya.

Lihat Komen
ADS