mk-logo
Seni & Hiburan
Tauke nafi bawa alat seks, cuma petai dan rambutan
Diterbitkan:  Aug 16, 2021 11:49 AM
Dikemaskini: 11:49 AM

Pelawak Tauke Jambu menafikan dia membawa peralatan seks seperti yang dikaitkan dalam kes pemerdagangan manusia sewaktu ditahan polis pada 1 Ogos lalu.

Sebaliknya, kata Tauke, dia hanya membawa buah tangan untuk isterinya, Nadia Mohd Affandi iaitu buah rambutan dan petai.

“Salam geng, nak citer (cerita) masa wa (saya) ditahan, polis perika kereta wa cuma ada rambutan gading dan setangkai petai.

“Saya beli untuk isteri saya. Ia bukan peralatan jijik seperti yang tular,” katanya di di media sosial hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang selebriti ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam serbuan pada jam 10 pagi itu, polis turut berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.

Sejak berita itu disiarkan, nama Tauke antara yang dikatakan terbabit dalam jenayah tersebut.

Bagaimanapun, pada 5 Ogos lalu, selepas namanya mengundang perhatian ramai, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria mendakwa pelawak yang ditahan bukanlah dirinya.

Tauke berkata dia berada di kediamannya ketika kejadian malah menyifatkan tuduhan itu sebagai lucu

Sehari kemudian, dilaporkan pelawak yang ditahan bagi membantu siasatan terbabit sudah dilepaskan.

Susulan itu, tular pula laporan didakwa memetik nama dan kad pengenalan Tauke sebagai pelawak yang dikaitkan dalam kes berkenaan di media sosial.

Tidak tahan namanya terus terpalit pada 8 Ogos lalu, Tauke, 45, akhirnya mengakui memang dia yang ditahan namun menafikan dia menjalankan aktiviti sebagai bapa ayam.

Kata Tauke, dia hanya ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerdagangan manusia untuk tujuan seks itu. 

Pada hantaran sama, Tauke berkata, dia tidak mahu orang ramai yang terus-menerus mengecam dirinya dan mengaitkan namanya sebagai bapa ayam menambah dosa.

“Saya tak sanggup tengok lu orang (anda) semua buat dosa kering,” katanya.

Sementara itu memetik Mstar, selain membawa buah tangan untuk isterinya, Tauke juga mendakwa dia menghantar adik angkat perempuannya yang turut dikenali oleh orang rumahnya itu.

“Yang saya hantar tu adik angkat, kalau ikut logiknya takkan la adik angkat saya jadi mangsa. Dia datang rumah lepak-lepak... apa yang kata jadi mangsa?” katanya.

Tauke juga berkata, disebabkan kejadian yang berlaku, dia membuat keputusan untuk meninggalkan dunia hiburan.

“Akibat peristiwa ni saya terpaksa undur diri dalam industri hiburan. Bukan kerana merajuk tapi sebab-sebab lain... saya rasa cukuplah setakat ini,” katanya.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini