Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Putra Ahmad nak utamakan akademik macam diingini Awie

Anak lelaki Awie, Putra Ahmad Merrah, akur terhadap pesanan si bapa agar dia mendahulukan pelajaran berbanding terlibat dalam bidang seni tanpa persiapan ilmu di dada.

Kata Putra Ahmad, sikap itu juga selari dengan pendiriannya ketika ini iaitu memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia yang bakal membuka pintu untuk dia melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bapa minta utamakan akadmik dulu baru fikir minat menyanyi, saya pula SPM dululah.

“Bapa tidak menghalang untuk saya ceburi bidang seni. Dia kata: buat apa yang saya mahu dan lakukan yang terbaik untuk diri sendiri.

“Saya fikir betul juga cakap dia, akademik itu penting walaupun nak jadi penyanyi,” katanya.

Bukan setakat itu, Putra Ahmad, 17, berkata dia sememangnya mempunyai rancangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas tamat SPM nanti.

Dia yang dipuji-puji kerana memiliki suara mirip Awie menjelaskan, bapanya sendiri meluahkan harapan mahu melihat dia bergiat sebagai pembikin filem berbanding bekerja di depan tabir.

“Saya nak masuk UiTM sebab bapa cadangkan sambung belajar dan kebetulan hasrat saya nak ambil jurusan seni persembahan.

“Dia ada kata kalau boleh nak lihat saya jadi penerbit filem, ketika ini di sekolah seni saya hanya belajar tentang produksi saja,” katanya yang menuntut di Sekolah Seni Malaysia dalam pengkhususan seni muzik.

Putra Ahmad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Rebel: Berontak Untuk Berotak di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tak puas hati mutu lakonan

Melalui filem sulung Awie itu, dia yang juga penyanyi Alif Bata Duniaku berharap dapat mengembalikan pertubuhan NGO Melayu disertai ke laluan sepatutnya berlandaskan “al-Quran dan sunnah.”

Selain Putra Ahmad, Awie, 55, turut menjayakan filem - yang akan menjengah ke pawagam pada 2 Mei - itu di samping pelakon lain seperti Ben Amir, MK-K Clique, Shiqin Kamal, dan Nur Albaniah.

Mengulas pembabitannya dalam filem berkenaan, Putra Ahmad berkata dia teruja kerana pertama kali beraksi di depan lensa yang dikhususkan untuk layar lebar, dan dikendalilkan melalui arahan bapanya.

Pun begitu, dia mengakui berasa sedikit terkilan kerana lontaran dialognya disifatkan kurang memuaskan.

“Teruja sebab sebelum ni berlakon di pentas teater dan bukan skrin besar malah genre aksi.

“Namun saya sedikit kecewa sebab sewaktu berlakon filem ini umur saya baru 15 tahun. Jadi, boleh nampak apa yang kurang.

“Ada dialog saya ucap tidak berapa jelas macam mumbling (menggumam) saja terutama babak dengan Kasih,” katanya.

Justeru, menurut Putra Ahmad, dia akan cuba memperbaiki kemampuan lakonan untuk projek akan datang.

Katanya, dia juga bersedia dari segi mental sekiranya muncul kritikan yang di luar jangka.

“Saya kena betulkan kelemahan dalam perkataan dan sebutan, saya akan cuba buat lebih baik lagi, jadi kalau kena kritik kenalah reda,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS