Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Impian sejak kecil Ajai mahu kolaborasi sama Awie tercapai
Diterbitkan:  May 2, 2024 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Hasrat penyanyi dan komposer Ajai untuk bekerjasama dengan idolanya, Awie, menjadi kenyataan melalui Cerita Rindu sebagai runut bunyi filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Lebih bermakna apabila ia juga adalah kali pertama Ajai bekerjasama dengan vokalis kumpulan Wings itu melalui runut bunyi.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata, dia sangat teruja apabila diberi kepercayaan menerbitkan Cerita Rindu yang dinyanyikan Awie untuk filem bergenre aksi itu.

“Saya dibesarkan dengan lagu dendangan Awie sejak zaman bersama kumpulan Exists lagi.

“Saya pernah bertemu dengan Awie ketika masih di bangku sekolah dan menyimpan impian agar kami dapat bekerjasama suatu masa nanti,” katanya.

Untuk rekod, Ajai, memulakan langkah dalam industri muzik sejak berusia dia 14 tahun.

Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak menjengah pawagam tempatan bermula hari ini.

Selain pertama kali mengarahkan filem, Awie turut menjayakan naskhah berkenaan di samping Ben Amir, MK K-Clique, Shikin Kamal, Azlan Komeng dan Nor Albaniah.

Berkongsi mengenai lagu Cerita Rindu, kata Ajai, 49, ia memiliki kelainan berbanding lagu-lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Menurutnya, seperti yang ramai ketahui, lagu Awie cukup sinonim dengan sentuhan M Nasir dan JS Kevin sejak dulu.

“Kali ini, ia berlainan sikit dengan sentuhan daripada saya dari segi phrasing pernafasan, tapi masih lagi mengekalkan cita rasa Awie,” katanya dalam kenyataan.

Ditanya dari segi suara, kata Ajai, vokal Awie masih kekal pada lagu Cerita Rindu dan perubahan hanya pada sentuhannya selaku penerbit.

Menurutnya, setiap penerbit mempunyai cara berbeza kerana setiap lagu mempunyai pernafasannya tersendiri.

“Apa yang penting, lagu ini tidak stereotaip dan sama seperti yang pernah dihasilkan penerbit lain sebelum ini,” katanya.

Mengenai proses rakaman, Ajai berkata, ia berlangsung di Studio Wake The Baby kira-kira tiga bulan lalu.

“Sebenarnya, proses perbincangan untuk menghasilkan lagu runut bunyi ini saja berlangsung selama setahun.

“Saya sudah dapat sinopsis lagu lebih awal, tapi proses rakaman ambil masa kerana kesibukan masing-masing. Ini kerana Awie juga mengarahkan filem ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS