Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Pemimpin sekolah Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ), Musa berkata, segala usaha yang dilakukannya untuk membantu anak-anak pelarian ini hanyalah disebabkan minat mendalam.

Ketika aku bertanya, Musa hanya membuang pandangan kosong ke tengah padang pasir. Tiada apa-apa yang dapat dilihat di hadapan kami kecuali satu garis lurus cahaya yang muncul entah dari mana, seperti horizon.

Di angkasa, taburan bintang membentuk perkataan-perkataan yang tidak difahami manusia. Tiba-tiba seorang anak pelarian, Qurayyim berlari dan memeluk Musa dari belakang kerana dikejar seorang lagi kanak-kanak, Yousef. Musa terduduk akibat terkaman itu.

“Apa pun yang kita buat, kalau minat, mesti jalan. Satu lagi sebab kasihan. Saya tak boleh tengok budak-budak berniaga di tepi jalan untuk bagi keluarga makan. Atau ibu-ibu minta sedekah heret anak di tengah bandar.

“Saya rasa kalau kita bagi seringgit dua, apa sangat yang mereka boleh buat. Jadi tak cukup untuk bagi ikan sahaja, saya cuba bagi joran untuk mereka cari makan sendiri,” kata Musa sambil bangun dan menangkap Qurayyim.

Beliau membisikkan sesuatu dalam bahasa Arab ke telinga anak kecil itu. Qurayyim tersengih sambil menyebut, “Muusa, Muusa”.

“Masalah pelarian tak makan, tak belajar tak akan selesai selagi orang Syria tidak menang dan berjaya balik negara ke negara asal mereka.

“Jadi tugas jaga pelarian bukan tugas sehari dua atau sebulan dua. Tugas ini berterusan sampai Syria bebas,” sambung Musa sambil meletakkan kembali Qurayyim ke bawah.

Api semakin marak. Abdullah bertungkus-lumus mengipas pemanggang. Di sekelilingnya, percikan bara api berterbangan.

Qurayyim, Yousef dan Abdul Rahman tertegun sambil memandang antara satu sama lain dan terus menari menyepak percikan bara api tersebut. Bai hanya ketawa melihat aksi mereka.

Gerakan TSDBJ ini bukan sahaja membuka sekolah untuk komuniti Syria di Mafraq, mereka juga menjalankan aktiviti tetap setiap tahun seperti agihan daging qurban, agihan musim sejuk, agihan musim panas, agihan makanan buka puasa, agihan barang kering Ramadan serta agihan baju raya.

Ketika arang merah memijar, Shah datang membawa sebesen penuh ayam yang sudah siap diperap. Aku membantu Musa mengeluarkan ayam tersebut dan menyusunnya di atas gril.

Sesekali angin bertiup, aku menggigil kesejukan. Sambil kami menyusun ayam, Musa memecah keheningan, seolah-olah mendengar aku bertanya dari dalam hati.

“Bukan senang bang. Banyak cabaran. Sangat banyak,” katanya sambil menggeleng kepala.

Bai pula menyambung: “Paling susah, masalah masa. Susah untuk bahagikan masa dengan belajar dan membantu. Bayangkan setiap jam mesti ada orang Syria telefon, beritahu makanan tak ada.

“Bayi tak pernah minum susu, asyik minum air masak saja. Jadi kami yang sedang belajar berhenti sekejap untuk keluar pergi beli makanan. Beli susu. Kemudian hantar.

“Dalam kelas, kadang-kadang tak boleh fokus kerana fikir mengenai perkara ini, fikir masalah Arab yang banyak masalah.

“Tapi Alhamdulillah. Kawan-kawan banyak tolong. Tanpa mereka TSDBJ dah lama terkubur. Keluarga pun banyak bagi sokongan. Alhamdulillah,” sambung Musa lembut.

Ayam yang siap dibakar itu digantikan dengan yang mentah. Tetapi aku lihat ayam yang sudah masak itu hanya dikumpul, tidak dimakan.

Ada satu, dua ketul yang kami rembat untuk dikunyah sambil jaga api, tapi anak-anak Abu Abdullah tak menyentuh ayam panas ini. Aku berasa hairan dan risau jika ayam ini akan sejuk.

“Berapa lama sudah kenal ketua kampung ini?,” soalku, merujuk kepada Abu Abdullah. Abu Abdullah ialah ketua kepada lapan khemah pelarian yang berada di sekitar kawasan ini.

Ada kalanya tali khemah mereka diputuskan polis selepas dilaporkan oleh tuan tanah kerana menceroboh kawasan warga Jordan.

Paling lama mereka boleh bertahan di satu-satu tempat mungkin antara empat hingga enam bulan sahaja, sebelum perlu bergerak lagi mencari ruang menempatkan khemah di padang pasir.

“Tak lama sangat pun sebenarnya. Tak sampai setahun pun kalau tak silap. Tapi Abu Abdullah adalah antara pelarian Syria yang rapat dengan kami sebab dia betul-betul hormat tetamu,” jawab Musa.

Abu Abdullah tiba-tiba muncul di pintu khemah untuk bertanyakan sesuatu. Rupa-rupanya dia mempelawa kami masuk ke dalam sekiranya sejuk, terutama kepada aku.

Memang dia dapat melihat bahawa aku tak berapa tahan sejuk. Aku menolak pelawaannya dengan senyuman manis menggantikan bahasa Arab yang aku tidak tahu.

“Kalau pelarian lain contohnya, bila kita datang dia akan meminta-minta, dia akan persoalkan kenapa tetamu datang tak bagi bantuan, tapi Abu Abdullah tak seperti itu,” kata Musa.

Tambahnya, Abu Abdullah juga tidak pernah sekalipun meminta wang daripada mereka.

“Kayu api yang kami agih masa salji tengah lebat pun kami bagi atas inisiatif sendiri,” tambah Musa.

Geram melihat ayam panas terbiar kesejukan, aku merembat lagi seketul buat pemanas badan sambil mendengar syarahan Musa.

Musa juga mengakui bahawa mereka rapat dengan kumpulan pelarian itu kerana TSDBJ adalah satu-satunya badan yang menyalurkan bantuan secara konsisten.

[Baca selanjutnya dalam buku 'Berlari dari Jogja untuk menemukan si dia di Christiana']


ZF ZAMIR penulis buku popular ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang'.

Tulisan ini adalah sedutan dari buku 'Berlari dari Jogja untuk menemukan si dia di Christiana', karya keempat beliau yang diterbitkan Thukul Cetak.

Sedutan terdahulu:

'Hisap ganja tak boleh, minum arak boleh'

Satu malam di kem pelarian Syria

Pesanan

Alamat: Thukul Cetak, GARAJ, 9-1A, Jln 15/1A, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi (Waze Garaj Thukul)

WhatsApp/SMS: +601114719583 (Fakhrul)

Media sosial Thukul Cetak: Facebook / Twitter / Instagram

Lihat Komen
ADS