Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Dikatakan selepas wafat Nabi Muhammad SAW, ramai sahabat Nabi berhijrah ke Yaman selain ke Syam.

Tidak hairanlah negara ini menjadi tumpuan pelajar seluruh dunia untuk menuntut ilmu sama ada secara bersistem, seperti universiti di Sana’a ataupun sistem madrasah di Hadramaut.

Antara lokasi penting yang mesti dilawati di Yaman ialah Kota Babul Yaman. Kota yang berusia ribuan tahun ini ada kaitan dengan kisah Abrahah.

Ketika tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abrahah telah menghantar tentera bergajah untuk meruntuhkan Ka’abah. Ketika itu datuk Nabi iaitu Abdul Mutalib menjadi pembesar Mekah dan penjaga Ka’abah.

PB260249

Tentera bergajah ini telah dikalahkan oleh burung Ababil yang dihantar Allah dengan membawa batu-batu panas.

Hancur kesemua tentera dan gajah-gajah itu bak daun-daun yang dimakan ulat. Abrahah iri hati apabila masyarakat Arab seluruh tanah Hijaz pergi ke Mekah menunaikan ibadah mereka.

Oleh itu dia membina Ka’abahnya sendiri di Yaman. Binaan Ka’abah Abrahah ini masih kekal dalam Kota Babul Yaman ketika kami melawat kota tersebut.

Buruan habis, rebus bayi

Berbalik kepada bab tradisi keilmuan, saya teringat pada seorang sahabat baik saya ketika di Mesir dahulu iaitu Asad Derimbek dari Kazakhstan.

Negara mereka baru merdeka pada tahun 1990. Sebelumnya mereka dibawah penjajahan Soviet Union atau Russia.

Menurut Asad, sekitar tahun 70-an penduduk Kazakhstan masih lagi hidup secara nomad atau berpindah randah. Hidup mereka bergantung kepada hasil buruan.

Apabila hasil buruan sesuatu kawasan sudah habis, mereka akan berpindah ke lokasi lain. Namun sesuatu yang menyedihkan, pada zaman penjajahan Soviet Union, hasil buruan mereka dirampas pemerintah.

Hasil tersebut dijadikan sumber kerajaan. Menyebabkan masyarakat pemakan haiwan ini hidup dalam tekanan. Sudah menjadi darah daging mereka memakan daging yang banyak setiap hari.

Dalam keadaan jahil dan terdesak untuk hidup, biasa sahaja kata Asad ada antara penduduk yang merebus bayi-bayi mereka sendiri untuk dijadikan makanan.

Ini sangat tidak berperikemanusiaan. Walaupun suasana sebegitu tidak lagi wujud pada hari ini, namun ketagih memakan daging itu masih wujud sehingga ke hari ini.

Disebabkan lama berada di perantauan, Asad sendiri membawa bekalan daging yang siap diproses seperti sosej ke Mesir.

Sempat dia menjamu saya dan anak kedua saya Yusuf dengan daging kuda. Daging kuda yang telah diproses menjadi sosej itu dimakan bersama nasi tradisi mereka yang dicampur dengan lobak merah yang banyak.

Boleh dikatakan 20 peratus kandungan nasi adalah lobak. Daging kuda ini seumpama daging kambing. Ia menyebabkan badan kepanasan selepas memakannya.

Asad sendiri jika datang ke rumah saya, 1 kilogram daging yang dimasak sup belum cukup untuk dia seorang.

Ketika kami berkongsi setalam kecil nasi mandi untuk tiga orang tetamu, dia boleh menghabiskan setalam seorang dan sedia untuk menambah lagi.

Majoriti jadi atheis

Cerita Asad juga memilukan saya. Suatu hari di bulan Ramadhan saya bertanya khabar ibu dan bapanya. Jawab Asad, Alhamdulillah tahun ini kali pertama bapanya berpuasa. Terkejut saya. Ditanya kenapa?

Lalu jawab Asad, kebanyakan penduduk Kazakhstan hanya Islam pada nama sahaja. Tetapi mereka menganut fahaman atheis termasuklah keluarga beliau.

Puluhan tahun sebelumnya mereka beragama Islam. Namun selepas kejatuhan Othmaniah dan Kazakhstan berada di bawah pemerintahan Soviet Union, kehidupan beragama mereka ditekan. Akhirnya majoriti mereka menganut fahaman athies iaitu tidak percayakan agama dan tuhan.

Suasana itu sudah banyak berubah pada hari ini. Namun jumlah yang kembali kepada Islam dan bilangan masjid-masjid di sana masih minimum dibandingkan dengan nisbah rakyatnya yang beragama Islam.

Malah ketika meminta saya berusaha mendapatkan tempat di Malaysia untuk beliau sambung pengajian di peringkat PhD beliau, dipesan agar tidak dipilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Beliau bimbang akan menghadapi kesukaran apabila pulang ke Kazakhstan nanti kerana ada perkataan Islam pada universiti tersebut.

[Baca selanjutnya dalam buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria']


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Mengapa anak muda Syria berlumba ke masjid

Masjid atau gereja? Bezanya pada menara

Runtuhan di Syria saksi keagungan Islam

Arab Syria pentingkan ilmu

Penembak tepat kawal persidangan isu arak

Lihat Komen
ADS