Anwar diharap pimpin gerakan pembangkang
Majoriti rakyat Malaysia terkejut dengan pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh setelah sabitan kesalahan "lewat ke pejabatnya" (baca: liwat) dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Saya juga merasakan majoriti pimpinan PAS di semua peringkat terkejut dan termenung.
Namun, saya yakin ada pihak di kalangan tokoh kerajaan dan pembangkang yang tidak terperanjat perkara ini berlaku. Ini adalah satu langkah paling baik bagi Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengukuhkan kedudukannya di kalangan ahli Umno yang masih meragui kredibilitinya, dan simpatisan Anwar Ibrahim yang masih sayangkan Umno. Maka, teori sebegini boleh dihidu oleh mereka yang minat mengkaji isu-isu dalaman Umno.
Malah, tidak keterlaluan kalau kita andaikan, ia seolah-olah hasil percaturan pihak tertentu. Cuma, belum past ia melibatkan sebelah pihak atau kedua belah sekali, iaitu kerajaan dan tokoh pembangkang tertentu.
Penafian Anwar adalah benar, kerana dia terkurung dan lemah segala fizikalnya. Mana mungkin dia boleh bertindak sebagai kaki runding, selain beliau seorang pemimpin yang kuat berprinsip. Begitu juga Kak Wan Azizah menafikannya kerana beliau tidak melakukannya. Tetapi apakah ini bermakna pihak lain turut tidak melakukannya? Dato' Seri menegaskan amat malang sekiranya ia berlaku.
Suatu ketika dahulu, Anwar menguntungkan PAS dan pembangkang apabila beliau menggerakkan gerakan mahasiswa menekan kerajaan. Beliau menjadi harapan PAS, ketika hebat memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), yang dilihat seperti sayap kanan PAS ketika itu.
Namun kemudiannya, beliau mempunyai caranya sendiri. Sanggup meninggalkan perjuangan bersama Abim semata-mata ingin melakukan perubahan dan pembaik-pulihan cara sendiri. Tetapi Abim tetap menganggap beliau masih 'orang Abim'. Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah yang bukan sekadar bahan untuk dibaca, tetapi dianalisa.
Kini, keadaan itu hampir sama. Anwar menguntungkan pembangkang dengan gerakan mereformasi kerajaan dari luar. PAS mendapat sedikit habuan daripada gerakan ini. Kemenangan dicapai pada 1999. Kemudian beliau ditahan, sama seperti diISAkan dulu. Dan kini dia bebas.
Seperti yang saya nyatakan tadi, seolah-olah terdapat percaturan tertentu. Masakan Abdullah membiarkan ia berlaku kalau tidak menguntungkannya? Tetapi, harapan kita semoga tiada sebarang 'deal' dilakukan, sebagaimana penegasan oleh Anwar dan Pak Lah sendiri.
Cuma, apabila melihat kenyataan pemimpin Umno terhadap pembebasan Anwar, terutama Abdullah, Najib dan Muhammad Muhd Taib, mereka rata-rata tidak mengecam Anwar, memperkecilkannya atau menolaknya daripada menyertai Umno.
Malah Khairy Jamaluddin turut pergi menemui Anwar di rumahnya. Saya melihat, kalaupun tiada sebarang rundingan dengan kehadiran Khairi tersebut, tetapi ia usaha Abdullah untuk membina imej dan persepsi tertentu. Paling tidak imejnya di hadapan Anwar.
Apa pula yang akan berlaku jika memang terdapat rundingan antara kedua pihak, walaupun tidak melibatkan Anwar? Ini pasti memberikan kesan negatif yang besar kepada Barisan Alternatif (BA).
Kenyataan balas Anwar juga agak menarik untuk dikaji. Beliau tidak akan menyertai kerajaan. Tetapi bersedia bekerjasama dengan kerajaan. Beliau turut menegaskan akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anwar turut mengumumkan beliau akan meneruskan perjuangannya ke arah mereformasi kerajaan dan membela rakyat. Malah itulah juga antara objektif Keadilan ditubuhkan, selain membebaskan Anwar.
Dengan dasar perjuangan yang diimani oleh tokoh-tokoh Keadilan, di manakah tempat dan platform yang paling baik untuk membela rakyat dan melakukan perubahan dalaman, setelah berjaya menjatuhkan Mahathir dan membebaskan Anwar? Bukankah menyertai kerajaan lebih baik? Inilah yang merungsingkan kita.
Apa yang boleh kita harapkan ialah Anwar tidak berminat menyertai semula Umno. Cukuplah pembebasannya menguntungkan Abdullah dan proksinya dalam pemilihan Umno akan datang. Jangan sampai kemasukannya ke Umno melumpuhkan PKR, dan gerakan reformasi lintang-pukang tanpa haluan. Ini kerana, jika menyertai semula Umno, beliau tidak akan bersendirian melakukannya.
Kita sayangkan Anwar kerana beliau bersama kita menentang kerajaan zalim. Beliau merupakan tokoh pembangkang yang mampu mencipta apa sahaja gelombang rakyat. Supaya beliau tidak menyinggung kita suatu hari nanti, pimpinan BA dan reformis perlu memikirkan bagaimana dapat mengikat Anwar bersama pembangkang selama-lamanya.
Setelah pulang dari Jerman, saya pasti usaha akan berlaku untuk mendekati Anwar oleh kerajaan dan pembangkang. Jika beliau setia bersama pembangkang seperti era reformasi, maka ia akan menguntungkan pembangkang, Insyaallah.
Hishamuddin Rais dalam tulisan terbarunya , tidak menyembunyikan hasratnya untuk memulakan era kedua gerakan reformasi. Beliau masih lagi menaruh harapan terhadap Anwar, rakan seperjuangannya sejak dari Universiti Malaya (UM) lagi. Namun dia masih lagi ragu-ragu, apakah saat itu akan kunjung tiba?
Sebenarnya Dato' Seri! Kami sangat mengharapkan anda memimpin gerakan pembangkang di Malaysia. Ia juga satu sumbangan bernilai kepada rakyat dan negara Malaysia.

