Dimensi tasawuf PAS sudah musnah
Sebelum ini banyak sekali tulisan yang menceritakan mengenai kezuhudan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat beserta barisan exconya. Beliau dipuji bukan sahaja dalam negara bahkan melimpah ke negara tetangga dan belahan dunia yang lain.
Selain kekuatan jihad, kesufian positif juga merupakan dimensi penting dalam menjana kebangkitan gerakan Islam. Jika Rasulullah zuhud dengan bangkit membebaskan al-Haram dari rejim Quraisy, begitu juga Ibnu Taimiyyah yang memprakasai gerakan melawan Tartar yang menyerbu Baghdad.
Kini dalam era moden, kezuhudan Syeikh Ahmad Yassin menjadi 'uswatun hasanah' yang boleh dikira unggul.
Di peringkat awalnya, kerajaan Kelantan mula mencontohi dimensi Sufi ini. Dan ia menjadi rahsia besar di mana titik kekuatan kerajaan PAS di Kelantan. Namun kini, kebanggaan tersebut mula hilang dan pudar pelahan-lahan. Malah, ia bertentangan dan beralih arah kepada kemewahan ala-Umno.
Jika pemimpin kelas atasan Umno menggunakan Mercedes , maka pemimpin gerakan Islam kini tidak ketinggalan menggunakan kereta Mercede Benz atas alasan untuk menzahirkan imej korporat dan profesional.
Kalau sebelum ini ada pemimpin PAS yang menggunakan Mercedes, alasannya ialah mereka memang telah kaya sebelum masuk PAS lagi. Tetapi di Kelantan, duit untuk membeli Mercedes tersebut duit rakyat, bukannya duit exco-exco.
Tidak dapat dinafikan bahawa di sini mungkin timbul soal berjimat-cermat dengan membeli Mercedes 're-cond', bukannya Proton Perdana yang sebelum ini didakwa belanja menyelenggaranya menelan belanja yang besar. Tetapi sedarkah kita bahawa nama Mercedes sudah cukup sinonim dengan kemewahan, kekayaan dan kemegahan.
Pembelian tujuh buah Mercedes Benz S280 lagi yang diluluskan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Ustaz Ahmad Yaakob baru-baru ini jelas mengambarkan kepincangan dan musnahnya dimensi tasawuf dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.
Reputasi keperibadian Islami yang ditonjolkan oleh Tok Guru, bukannya dicontohi, malah dimusnahkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan.
Saya dari keluarga PAS tradisi amat janggal melihat kebobrokan ini. Pendidikan saya hinggi kini tidak mengajar apa itu yang dinamakan itu pembaziran. Benarlah apa yang dipertegaskan oleh Abu Dzarr terhadap khalifah Uthman bahawa '... jika kamu membangunkan istana dengan harta kamu, ia membazir, namun jika kamu menggunakan harta rakyat, ianya kezaliman.'
Justeru, saya amat mengharapkan pemimpin dari aliran pro-ketelusan di Kelantan memainkan peranan bagi menangkis serangan ' tiga Abdul' yang mengeksploitasikan kelemahan Tok Guru. Mereka bukan sahaja mahu menyingkirkan Tok Guru, malah mahu mencabut seluruh individu-individu dari aliran madrasah Tok Guru ini.
Mereka seolah-olah tidak sabar menunggu kematian Tok Guru. Mereka telah lupa bahawa detik kematian Tok Guru itu urusan Allah, bukanya urusan tiga Abdul.
Ingatlah kembali semua pemimpin PAS bahwa Mercedes adalah lambang kemewahan dunia dan masih banyak lagi jenama kenderaan lain yang boleh dibeli dan digunapakai. Janganlah nasib pemimpin kerajaan PAS di Terengganu diulangi oleh tetangga akrabnya juga. Harapnya tidak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.