Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
'Tindakan Khairy tanda masa depan gelap media bebas'

Saya telah menegur Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam artikel terbaru saya yang disiarkan oleh Malaysiakini kerana tindakan menghalau wartawan dan atas nama kebebasan media.

Tindakan Khairy yang mewakili golongan pemuda ini mencerminkan betapa malapnya tahap kebebasan media di negara ini di masa depan.

Saya tidak menduga sama sekali teguran saya itu akan disanggah dan dikecam oleh Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.

Teguran saya berkisar mengenai kebebasan media dan masa depannya jika dicerminkan oleh tindakan Khairy itu, tetapi dua orang kuat Pemuda Umno itu mengheret Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP ke dalam isu ini.

Justeru, saya ingin menyeru atau mencabar mana-mana orang kuat Pemuda Umno ini, sama ada Armand atau Razlan untuk berdebat secara terbuka dalam isu kebebasan media di negara, dengan syarat ia berkisar hanya dalam isu tersebut, tidak dipolitikkan dengan agenda tertentu dan apa yang boleh dilakukan untuk perbaikinya.

Perdebatan ini boleh dianjurkan bertujuan membuka mata dan memberi pencerahan yang lebih terhadap isu kebebasan media dan kesannya kepada masyarakat dalam hak mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat, adil dan saksama terutama ketika negara di ambang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Saya terbuka di mana-mana saya untuk diadakan, dan pada bila-bila masa asalkan masyarakat negara ini akan terus disajikan dengan media yang lebih bebas dan tidak dibelenggu oleh mana-mana parti politik.

Atau, pilihan kedua, jika pihak Pemuda Umno keberatan untuk berdebat, kita anjurkan forum bagi memberi peluang kepada Mahathir bela diri setelah didakwa sekat kebebasan media di negara ini.

Seingat saya, di zaman Mahathirlah Malaysiakini dan beberapa portal lain ditubuhkan manakala di zaman Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib pula, beberapa portal ditutup selain digeledah oleh polis dan SKMM.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS