Surat Malaysiakini

PRU waktu rakyat jadi 'raja sehari'

Raja Bahrin Shah  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tidak berapa lama lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya ke-14 (PRU14) yang di jangka akan menjadi pertarungan yang amat sengit.

Menjelang pilihanraya ini berbagai rintangan baru telah di letak di hadapan pengundi-pengundi untuk menyukarkan lagi tugas mereka membuat penilaian dan penunaian tanggungjawab mereka.

Pihak media umumnya pun sedang mengalami masalah yang amat sukar untuk menjalankan tugas mereka dengan adanya Undang-undang Anti berita tidak benar yang berkuatkuasa sejak semalam kerana "tidak ketentuan" status maklumat.

Sesi Parlimen yang baru selesai pada 5 April baru-baru ini telah melihat beberapa akta / undang-undang baru.

Akta persempadanan kawasan pilihan raya baru yang di luluskan Parlimen melibatkan pemindahan pengundi secara beramai-ramai dan ada juga perubahan nama-nama kawasan mengundi. Kedua-dua ini akan menyebabkan kekeliruan dan kesukaran pada pengundi.

Kelulusan undang-undang anti berita tidak benar juga menyebabkan ketidaktentuan dan kebimbangan kepada orang awam dan pihak media dalam menangani berita dan maklumat yang berlegar di seluruh dunia.

Wakil utama pihak media tempatan dan juga antarabangsa telah menyatakan kebimbangan mereka dalam isu ini.

Pengumuman SPR yang hari mengundi akan jatuh pada hari Rabu iaitu di tengah-tengah minggu, walaupun di istihar KEMUDIAN oleh Kerajaan hari cuti umum, akan mendatangkan banyak kesukaran dan rintangan kepada pengundi.

Waktu yang amat pendek untuk pengundi dari Lembah Kelang untuk pulang mengundi di Terengganu dan Kelantan untuk pulang dan kembali berkerja pada hari Khamis esoknya amatlah sukar dan boleh membahayakan dalam perjalanan kereta pergi dan balik.

Dengan singkatnya waktu pengundi boleh berada di kampung tempat mengundi mereka bersama keluarga serta sahabat lama akan menjejaskan tradisi serta ikatan perhubungan mereka secara keluarga dan masyarakat.

Batasan masa 

Peluang serta masa untuk berbincang ehwal semasa dan menilai bersama situasi negeri dan tempatan semasa akan terbatas teruk.

Tradisi suasana mesra silaturahim ala 'pesta berkumpul' pilihanraya bersama keluarga dan kawan lama akan terhapus. Ini adalah tradisi amat berharga nilainya yang perlu di pelihara.

Kami membantah keras terhakisnya hak, kemudahan serta tradisi pilihanraya yang makin merugikan rakyat.

Pilihanraya adalah hari untuk rakyat menjadi 'raja sehari' dan bukan untuk 'kerajaan' bermaharajalela menekan rakyat.

 



RAJA BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu dan juga Pengerusi AMANAH negeri itu. Beliau menang kerusi parlimen Kuala Terengganu pada PRU13 lalu.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.