Saya ingin mengkritik surat yang bertajuk Jangan jadi dangkal mengecam kerajaan . Penulis menyatakan bahawa bangunan KLCC dan bandar Putrajaya seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Apakah kita patut berbangga dengan bangunan tinggi KLCC di mana arkiteknya orang asing? Adakah pemajunya orang tempatan? Mengapakah negara yang lebih kaya seperti Singapura tidak membina bangunan yang lebih tinggi?
Adalah sungguh memalukan jika membanggakan negara hanya dengan hutan konkrit. Saya tidak bersetuju dengan pendapat penulis yang pelawat-pelawat asing memuji Putrajaya dan mahu menirunya. Siapakah pelawat-pelawat asing itu? Di manakah dokumen yang menyatakan pelawat-pelawat asing itu ingin membina bandar seumpama itu? Adakah bandar baru yang sedang dibina yang khas mengambil pelan Putrajaya sebagai inspirasi?
Pendapat-pendapat penulis adalah sungguh tidak mendalam dan tidak menunjukkan bukti sebarang ilmu pengkajian. Jika beliau adalah seorang Muslim, adakah patut seorang Muslim memuji kerajaan yang menghalalkan perjudian dan riba? Bagaimana dengan undang-undang yang menyatakan jangka-hayat pengutipan tol?
Saya masih ingat bahawa guru-guru sekolah kerajaan masa dulu mampu membeli kereta yang berkualiti seperti Mazda, dan banyak mereka mempunyai rumah bertingkat dua. Adalah sangat berbeza jika dibandingkan dengan masa sekarang ini. Adakah guru sekarang dapat memiliki semua itu? Adakah ini dinamakan kemajuan?
Ingat, pemimpin adalah hamba kepada rakyatnya. Malang, pemimpin (Muslim) sekarang sudah mudah lupa diri dan kesempurnaan agama.
