Malaysiakini Surat

Wan Ji dan Akta Hasutan

Radzlan Jalal  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Setelah dua hari anak guam saya, Wan Ji Wan Hussin, menghuni Penjara Kajang, hari ini izinkan saya berkongsi sedikit latar belakang apa yang berlaku.

Selama tiga hari berturut-turut saya dihujani dengan panggilan telefon dan hantaran pesanan (WhatsApp) daripada pemimpin politik, wartawan, kawan-kawan peguam, ahli politik dan aktivis.

Semuanya menunjukkan keprihatinan. Terima kasih.

Pelbagai komen dan reaksi dapat kita lihat. Misalnya, mengapa dipenjara?

Mengapa tidak dapat penangguhan pelaksanaan hukuman penjara?

Mengapa digari?

Wan Ji dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 Sept 2014. Seramai 13 saksi pendakwaan telah dipanggil.

Punca tiada penangguhan

Selama hampir empat tahun, saya dan Wan Ji bertarung di mahkamah sehinggalah dia didapati bersalah pada 9 April 2018 dan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan (dari tarikh jatuh hukum).

Saya membuat permohonan secara lisan kepada hakim untuk dibenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan di mahkamah tinggi didengar. Hakim membenarkan permohonan tersebut.

Pihak pembelaan memasukkan notis rayuan terhadap hukuman dan sabitan pada 16 Apr 2018, dan pihak pendakwaan juga memasukkan notis rayuan atas ketidakcukupan hukuman yang diberikan pada 9 April 2018.

Kedua-dua rayuan dimasukkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 27 Jun 2019 rayuan kedua-dua pihak didengar dan mahkamah tinggi menetapkan 9 Julai 2019 sebagai tarikh keputusan.

Keputusannya ialah seperti sudah sedia dimaklumi oleh semua.

Mengapa tidak dapat penangguhan?

Saya secara lisan memohon untuk hukuman penjara tersebut ditangguhkan. Bagaimanpun hakim megarahkan saya memfailkan permohonan secara formal melalui notis usul.


Baca Peguam persoal AGC minta Wan Ji dihukum lebih berat


Hakim tidak menolak permohonan saya, sebaliknya dia cuma mengarahkan agar ia dibuat secara rasmi. Itu adalah budi bicara hakim yang kita semua perlu hormati.

Saya secara segera pulang ke pejabat pada hari yang sama untuk menyediakan notis tersebut dan meminta jasa baik pihak polis untuk tidak membawa Wan Ji ke penjara kerana saya perlukan dia untuk menandatangani afidavit bagi menyokong permohonan tersebut.

Saya amat amat menghargai jasa baik pihak polis yang memberi kerjasama amat baik kepada saya dan Wan Ji.

Saya datang semula ke mahkamah sekitar jam 3 petang dan terus ke lokap untuk meminta Polis membawa Wan Ji ke tingkat tiga bagi dia menandatangani afidavit tersebut di hadapan pesuruhjaya sumpah.

Ketika Wan Ji dibawa keluar, dia digari. Ia juga merupakan prosedur yang patut kita hormati. Memang dia bukan perompak, peragut, dan apa-apa lagi, tapi itu prosedur keselamatan.

Tak minta, tak tolak

Kerjasama polis yang amat baik untuk membenarkan dia keluar dan pergi ke tingkat tiga amat saya hargai. Jika tidak, saya perlu ke Penjara Kajang untuk berjumpa Wan Ji bagi mendapatkan tandatangan.

Ia akan megambil masa yang lebih lama.

Saya juga menerima mesej bertanyakan betulkah saya ada membuat kutipan dana untuk menampung yuran guaman.

Untuk makluman, sepanjang empat tahun kes ini berjalan, saya tidak menerima apa-apa bayaran dan tidak pernah meminta mana-mana pihak untuk membayar saya.

Tetapi pada hari kes tersebut, seorang kawan peguam menghubungi saya dan mahu membantu.

Saya terus berikan nombor isteri Wan Ji tetapi rupa-rupanya dia nak membantu peguam. Saya tanya: bantu macam mana? Katanya, dia mahu membantu mencari dana guaman.

Saya kata, tidak mengapa, saya OK. Dia kata, peguam pun perlu dibantu. Maka saya tidak menolak, tapi pada masa sama, saya tidak meminta.

Saya amat berharap semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada saya dan kawan-kawan peguam lain yang akan turut sama membantu saya menjalankan tugas ini.

Kami akan gunakan segala ruang undang-undang yang ada. Kami masih percaya kepada keadilan sistem perundangan dan kehakiman Malaysia.

Doakan kami.


Radzlan Jalal ialah seorang peguam. Tulisan ini asalnya disiarkan di Facebook beliau.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.