Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

SURAT | Artikel “Pesakit Covid-19 resah, keliru dibiar menunggu di rumah" yang disiarkan Malaysiakini pada 30 Dis lalu antara lain menceritakan kisah S yang dirundung ketidakpastian setelah ujian saringan yang dilakukan di klinik swasta menunjukkan dia positif Covid-19.

Bagaimanapun siapa dapat menjangka ada lagi yang bakal menimpanya. Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah peribahasa sesuai bagi menjelaskan keadaan yang dihadapinya.

S, 24, yang merupakan kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat swasta diarahkan majikan untuk membuat ujian saringan di klinik swasta pada 23 Disember lalu setelah mula demam dua hari sebelumnya.

"Kalau awak mahu datang kerja, perlu buat ujian saringan dahulu," kata majikannya.

Tidak lama kemudian, ujian rapid test kit (RTK) Antigen yang dijalaninya menunjukkan keputusan positif. Berita itu pastinya menimbulkan kebimbangan terhadapnya.

Namun bukan sekadar itu dugaannya. Sambil menjalani kuarantin, dia menunggu arahan seterusnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM) seperti prosedur biasa seorang pesakit Covid-19.

Hari berganti hari, usaha S dan teman-teman serumahnya untuk menghubungi klinik kesihatan tidak berjawab.

"Penantian itu sangat buat saya tertekan.

"Saya bimbang kerana saya tidak tahu sama ada saya positif atau negatif. Sekarang, rakan serumah saya pun tidak dapat meninggalkan rumah," kata S.

Sehinggalah pada hari kelima apabila seorang petugas mengarahkannya untuk ke klinik kesihatan pada 28 Disember, iaitu tiga hari kemudian, bagi membuat ujian Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang lebih tepat.

Ada teman serumah yang keluar untuk tinggal di hotel dan ada juga yang mengambil inisiatif sendiri membuat ujian saringan - bimbang mereka dijangkiti wabak itu daripada S.

Dia pun ke Klinik Kesihatan Petaling untuk menjalaninya. Beberapa hari kemudian, iaitu pada 31 Disember, keputusan pun keluar dan dia sebenarnya tidak dijangkiti wabak itu.

Hari-hari penuh kebimbangan diganti dengan rasa lega.

Bagaimanapun ia hanya sementara kerana S dimaklumkan dia diberhentikan kerja pada hari sama keputusan ujiannya keluar.


ULASAN | Pengalaman seminggu tinggal bersama pesakit Covid-19

Pesakit cirit-birit akibat 'makanan basi', pengesanan kontak lambat


Merantau mencari rezeki kira-kira sebulan lalu, S yang berasal dari Kedah terpaksa menerima cabaran yang amat sukar ini.

Lebih menyedihkan, dia tidak menerima sebarang notis pemecatan dan hanya dimaklumkan menerusi panggilan video. Ada tiga lagi pekerja yang turut ditimpa nasib sama.

"Alasannya, pekerjaan yang saya lakukan tidak memuaskan dan majikan tidak berpuas hati dengan sikap saya," katanya yang menerima gaji sebanyak RM800 sepanjang tempoh singkat perkhidmatannya.

Sekurang-kurangnya kudratnya terbayar.

Kini, S ingin membuat laporan di pejabat buruh atas tindakan majikannya. Menurut S, bukan kali pertama syarikat itu berbuat demikian.

Warga seluruh dunia berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun 2020 akibat penularan wabak Covid-19. Begitu juga di Malaysia, sama ada warga tempatan mahupun pekerja asing, ramai yang kehilangan punca pendapatan.

S adalah salah seorang daripadanya. 


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS