PKR Cabang Kota Bharu memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan kenyataan terbuka oleh Rafizi Ramli (atas) yang didakwa menimbulkan polemik serta memberi kesan kepada imej dan kestabilan parti.
Sebagai sebuah parti yang berteraskan perjuangan Reformasi, PKR sentiasa menjunjung prinsip keterbukaan dan kebebasan bersuara. Namun demikian, perbezaan pandangan harus disalurkan melalui saluran dalaman parti demi memastikan keharmonian dan kesatuan organisasi terus terpelihara.
Kami berpandangan bahawa tindakan membawa isu secara terbuka tanpa penyelesaian dalaman hanya akan membuka ruang kepada persepsi negatif serta dimanipulasi oleh pihak lawan, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti.

Dalam situasi politik semasa, kestabilan dan keutuhan parti adalah amat penting bagi memastikan agenda reformasi dapat terus dilaksanakan dengan berkesan.
Sehubungan itu, kepimpinan parti digesa mengambil pendekatan tegas dan berhemah dalam menangani isu ini. Maruah dan integriti parti mesti dipelihara.
PKR Cabang Kota Bharu kekal komited menyokong kepimpinan pusat bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Fokus utama kita adalah membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan menjamin kestabilan politik negara.
Akhir sekali, kami menyeru semua pimpinan agar mengelakkan polemik yang merugikan parti dan negara.
ABU HAMID MUHAMMAD ABU SAMAH adalah ketua cabang PKR Cabang Kota Bharu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
