Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Seruan Majlis Ulama Rohingya kepada rakyat Malaysia

Firman Allah SWT (bermaksud):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan (Surah Al-Maidah: Ayat 8)

Majlis Ulama Rohingya (MUR) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta seluruh rakyat Malaysia atas segala bantuan, sokongan, ihsan dan keprihatinan yang diberikan selama ini. Kami juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang memberikan peluang kepada anak-anak kami untuk mempelajari ilmu agama. Peluang yang amat bermakna ini membantu mereka mendalami ajaran Islam, membentuk akhlak mulia serta menjadi bekalan yang berharga untuk masa depan.

Pada masa yang sama, kami akui atas segala kekurangan segelintir komuniti Rohingya yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia, justeru itu kami ingin memohon maaf atas segala kekurangan tersebut dan segala kelemahan akan diperbaiki dari semasa ke semasa agar dapat mewujudkan ukhuwah yang lebih baik dengan rakyat Malaysia dan hidup dengan lebih harmoni.

Kami menafikan dengan sekeras-kerasnya terhadap semua dakwaan palsu di media sosial. Kami tidak pernah menuntut mana-mana kawasan atau sebarang hak kewarganegaraan di Malaysia, itu adalah satu tuduhan yang dibuat oleh pihak yang ingin mewujudkan kebencian terhadap kami dan menjejaskan kehidupan kami di sini. Bahkan kami sedang memperjuangkan hak kewarganegaraan daripada kerajaan Myanmar yang menjadi tanah tumpah darah kami.

Berhubung kenyataan yang sedang tular kononnya kami menuntut hak sebagai warganegara Malaysia, kami ingin menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar. Kenyataan asal telah diubah suai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial dengan menukar frasa “menuntut hak kewarganegaraan Myanmar” kepada “menuntut hak kewarganegaraan Malaysia”.

Kehadiran kami di negara ini hanyalah untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sementara serta menjalani kehidupan aman damai, dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan di Malaysia. Kami juga bersedia untuk kembali ke Myanmar apabila wujud jaminan keselamatan, keamanan serta pengiktirafan terhadap hak-hak kewarganegaraan kepada kami.

Kami menghargai bantuan kemanusiaan negara Malaysia dalam memberikan perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka. Pada masa yang sama, kami memahami bahawa Malaysia bukan merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951 mahupun Protokol 1967, dan segala urusan berkaitan pelarian adalah tertakluk kepada undang-undang serta dasar kerajaan Malaysia.

Genosid dan penderitaan masyarakat Rohingya bermula sejak tahun 1942, manakala gelombang pelarian bermula pada tahun 1978. Sejak itu, masyarakat Rohingya mendapat perlindungan di lebih daripada 20 buah negara, terutama di Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan dan negara-negara lain akibat penindasan bunuh, usir, bakar, rogol, serta penafian kewarganegaraan di tanah air mereka sendiri.

Allah SWT berfirman (maksudnya): 

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. (Surah Al-Hajj: 40)

Menurut UNHCR, Malaysia kini menempatkan pelarian dan pemohon suaka berdaftar lebih daripada 50 buah negara, manakala pelarian daripada Myanmar pula terdiri daripada pelbagai etnik seperti Rohingya, Chin, Karen, Kachin, Shan, Mon, Kayah, Rakhine dan lain-lain. Oleh itu, isu pelarian di Malaysia bukan hanya melibatkan masyarakat Rohingya kerana bukan semua yang datang dari Myanmar ialah Rohingya.

Berhubung dakwaan yang tular mengenai Pasar Borong Selayang, kami menegaskan bahawa dakwaan kononnya pasar tersebut dikuasai atau didominasi oleh masyarakat Rohingya adalah tuduhan tidak berasas. Pasar berkenaan bukan dikuasai masyarakat Rohingya dan sebaliknya, bangsa lain daripada Myanmar yang terdiri daripada berbilang kaum. Kami menyeru semua pihak supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat dan hanya merujuk kepada sumber yang sahih sebelum menyebarkannya.

Kami juga menegaskan bahawa sekiranya terdapat mana-mana individu yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang, maka individu tersebut hendaklah dipertanggungjawabkan secara peribadi mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak mengaitkan kesalahan segelintir individu dengan masyarakat Rohingya secara keseluruhan.

Selain itu, kami menjelaskan bahawa mana-mana individu, persatuan atau akaun media sosial yang mendakwa mewakili masyarakat Rohingya tidak boleh dianggap sebagai wakil rasmi komuniti Rohingya memandangkan terlalu banyak akaun palsu pada masa kini.

Allah SWT berfirman (bermaksud):

Sesungguhnya orang-orang yang suka akan tersebarnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) (Surah An-Nur: 19)

Kami sekali lagi memohon maaf atas segala salah laku masyarakat Rohingya di Malaysia. Kami sangat menghargai keprihatinan yang telah diberikan kepada pelarian Rohingya. Kami komited untuk terus menghormati undang-undang negara, memupuk keharmonian masyarakat serta menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan di Malaysia.

Kami menyeru semua pihak agar sentiasa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih, mengelakkan penyebaran berita palsu, fitnah dan ucapan kebencian, serta bersama-sama memelihara keharmonian yang menjadi kekuatan rakyat Malaysia.

Allah SWT berfirman (bermaksud):

Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kamu boleh berhijrah di dalamnya? (Surah An-Nisa: 97)


RAHIMULLAH MUHAMMAD HUSSAIN adalah pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS