Pertandingan bagi jawatan presiden, timbalan dan naib presiden MCA kali ini berlangsung dengan sengit ketika kesemua calon dilihat  mempunyai peluang yang sama banyak.

NONE Beberapa perwakilan yang ditemui Malaysiakini memberi reaksi yang berbeza-beza mengenai peluang kesemua tokoh yang bertanding.

Pada masa sama, mereka juga dilihat berhati-hati dalam memberikan pandangan mengenai pemilihan semula kali ini.

"Inilah kali pertama saya lihat 86 calon bertanding untuk (merebut 25 kerusi) jawatankuasa pusat," kata seorang perwakilan dari Ipoh Timur.

Manakala persaingan bagi jawatan naib presiden pula menyaksikan perebutan antara 10 pemimpin utama MCA.

Jawatan presiden pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Kiat yang dicabar oleh Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Manakala jawatan timbalan presiden pula membaitkan perebutan satu lawan satu antara  Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan Datuk Kong Cho Ha

Perwakilan tersebut yang enggan dikenali namanya, juga menjangkakan, perbezaan undi kali sangat kecil.

"Anda tengoklah berapa ramai yang keluar mengundi hari ini, lebih 97 peratus. Ini petanda yang baik, saya rasa ini tandanya perwakilan sudah bersedia untuk  perubahan," tambahnya.

Beliau juga melihat proses pemilihan hari ini yang berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama penuh daripada perwakilan.

Sebanyak 2,318 kertas undi diedarkan kepada para perwakilan yang mula mendaftarkan diri mereka sejak Sabtu.

NONE Malam semalam juga menyaksikan kempen pemilihan mencapai kemuncaknya apabila ketiga-tiga calon presiden menganjurkan majlis makan malam.

Di majlis berkenaan, tiga senarai diedarkan di kem masing-masing. Senarai ini membariskan nama-nama calon timbalan presiden, naib presiden dan juga jawatankuasa  pusat yang perlu dipilih oleh perwakilan hari ini.

Malah, ia juga berlegar sejak beberapa hari lalu apabila presiden Tee Keat mula menonjolkan diri.

Namun pemerhati MCA juga melihat beliau sebagai calon yang tercorot di belakang Soi Lek dan bekas presiden Ka Ting.

Perwakilan yang ditemui juga enggan mendedahkan nama hotel penginapan mereka sepanjang mesyuarat agung luar biasa kali ini.

Perwakilan yang menyokong calon presiden tertentu ditempatkan di beberapa hotel ternama di Kuala Lumpur, berhampiran ibu pejabat MCA di Jalan Ampang.

NONE Sementara itu, seorang lagi perwakilan dari Batu Gajah berpendapat pertembungan sengit berlaku antara Ka Ting dan Soi Lek, di mana kedua-duanya  mempunyai peluang 50-50 untuk menang bagi jawatan presiden.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden pula, perwakilan itu mendakwa penyokong Tee Keat akan memberi sokongan kepada Cho Ha dan tidak kepada Tiong Lai.

"Saya yakin Datuk Kong Cho Ha akan menang," katanya sambil menambah perwakilan Perak turut memberikan sokongan penuh kepada Cho Ha.

Ditanya mengenai isu video seks yang dihadapi oleh Soi Lek, perwakilan itu mendakwa "isu tersebut isu lama" dan "perwakilan sudah lupa".

Manakala seorang perwakilan lagi dari Pahang, yakin gandingan Ka Ting dan Tiong Lai akan menang dalam pemilihan hari ini.

Beliau juga mendakwa kedua-dua tokoh tersebut mendapat sokongan dari Johor, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Keputusan awal dijangka diperolehi seawal jam 7 malam, namun ia mungkin berlanjutan sehingga jam 9 malam memandangkan jumlah calon yang ramai kali ini.