Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong enggan mengulas apabila diajukan bahawa terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa beliau adalah pemimpin PKR yang seterusnya akan berpaling tadah.

vk lingam hearing wee choo keong pc thirunama 180108 stern Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya lewat semalam ketika ditanya wartawan di lobi parlimen.

Wee sehari sebelum itu berkata kepada akhbar-akhbar Cina bahawa jika beliau memilih meninggalkan PKR, beliau akan berbuat demikian dengan tempoh masanya sendiri dan bukan ditentukan oleh 'Napoleon kecil'.

Beliau kemudiannya menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

Ahli parlimen Kapar, S Manikavasagan pada ceramah di Ampang Pecah semalam menaikkan kemarahan ahli-ahli PKR apabila beliau menimbulkan spekulasi bahawa seorang lagi MP parti itu akan berpaling tadah.

Menurut sumber, Wee memang telah bertekad meninggalkan PKR tetapi cuma mencari jalan keluar yang sesuai.

“Wee lebih gemar dipecat dari PKR supaya beliau tidak akan dituduh sebagai melompat dan digelar ‘katak’,” kata sumber itu.

Wee akan diperhatikan dengan teliti oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat apabila BN dijangka akan membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Khamis ini.

Jika Wee berucap menentang parti dan juga ketua umumnya, beliau pastinya akan dipecat dan tidak perlu bertindak melompat keluar PKR.

[Baca berita penuh]

ADS