'Tuduhan cuba sogok wartawan tidak berasas'
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menutup kes berhubung tuduhan menyogok RM300 kepada wartawan yang membuat liputan pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew berkata SPRM tidak menjumpai elemen rasuah dalam dakwaan tersebut.
Menurut kenyataan dan bukti yang diperolehi sewaktu penyiasatan dijalankan, timbalan pendakwaraya mendapati ianya gagal memenuhi 'ramuan' bagi kesalahan rasuah, katanya di Dewan Rakyat.
Liew berkata perkara itu disiasat selama tiga bulan dan wang yang ditemui daripada dakwaan percubaan memberi rasuah itu, telah diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, sesuai dengan tuntutan undang-undang.
Beliau menegaskan demikian sewaktu menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) (kiri), yang menyifatkan insiden itu sebagai satu kes rasuah yang "cukup jelas".
Teo merujuk kepada laporan SPRM yang dibuat oleh dua wartawan mengenai dakwaan tersebut. Mereka adalah antara berbelas wartawan yang didakwa menerima RM300 dalam sampul surat dari kakitangan pusat media kementerian penerangan.
Ia berlaku sehari menjelang pilihan raya kecil tersebut pada 17 Januari.
Teo menyifatkan alasan bagi suruhanjaya itu tidak dapat mengambil tindakan - yang dikatakan diberikan oleh pegawai SPRM yang tidak dikenalpasti dalam laporan Straits Times News - sebagai benar-benar tidak masuk akal.
Menurutnya, adalah mustahil SPRM tidak dapat mengenalpasti pegawai yang dituduh menyogok wartawan, kerana empat wartawan Malaysiakini yang memulangkan sampul surat bersama wang tersebut dan dua wartawan Merdeka Review yang membuat laporan polis mengenainya, telah mengenalpasti nama pegawai media berkenaan.

