Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes saman Malaysiakini, Zunar ke atas KDN - 8 Okt

Permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman berhubung pengharaman Kementerian Dalam Negeri ke atas dua buku kartun yang difailkan oleh Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque, akan didengar pada 8 Oktober ini.

Hakim mahkamah tinggi, Aziah Ali menetapkan tarikh itu di kamarnya pagi ini dan mengarahkan pejabat peguam negara mengemukakan hujahan bertulis jika mempunyai sebarang bantahan sebelum atau pada Isnin, 20 September ini.

NONE Pada 26 Julai lalu, Malaysiakin i dan kartunis Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Ketua setiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Mahmood Adam dipetik media sebagai berkata buku-buku itu diharamkan kerana kementerian dalam negeri mendapati ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

"Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata Mahmood.

1Funny Malaysia, diterbitkan pada Disember tahun lalu adalah satu kompilasi kartun Zunar yang diterbitkan oleh Malaysiakini sejak 2005 hingga  2009.

Perak Darul Kartun pula diterbitkan oleh syarikat Zunar - Sepakat Efektif Sdn Bhd dan memapar karya beberapa kartunis Malaysia yang lain, termasuk Zunar.

ADS