BERITA

Video: Pemuda PAS-Umno sepakat tolak fitnah

Abdul Rahim Sabri & Norsyafinas Ahmad Sukri

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Jun 2011, 1:20 pagi

Pemuda PAS dan Umno serta ahli agama hari ini menegaskan menolak budaya fitnah, termasuk dalam isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berkongsi pentas dalam forum antifitnah di Shah Alam hari ini, mereka mengulangi desakan supaya pihak yang menayangkan video tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya.

NONE Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin ( kiri ) yang juga ahli parlimen Rembau berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

"Saya rasa kita setuju tidak mahu aibkan mana-mana orang. Itu penting dalam mana-mana politik, khususnya dalam negara Islam. Kita perlu ada peradaban," katanya.

Forum berjudul "Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman" anjuran akhbar Sinar Harian itu dihadiri kira-kira 500 orang.

Mengulas perkara yang sama, Nasrudin mengulangi pendirian PAS bahawa berdasarkan peraturan Islam pihak yang menuduh sesorang itu berzina mestilah mengemukakan empat orang saksi.

"Mengikut kaedah Islam, salah membebaskan orang yang silap lebih baik daripada menjatuhkan hukuman orang yang tidak bersalah... Hikmahnya, kerana untuk memelihara maruah orang," katanya.

'Betul, salah isu kedua'

Sementara bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas golongan agamawan daripada Umno dan PAS yang didakwanya gemar menggunakan masalah peribadi seseorang sebagai modal politik mereka.

NONE Tokoh agama muda itu berkata, beliau tidak dapat menerima keadaan tersebut sehingga menyebabkan rakyat lupa kepada isu-isu yang lain.

"Kita suka menggunakan kelemahan peribadi orang lain untuk diangkat menjadi isu politik. Bukan sahaja isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu (pembunuhan) Altantuya (Shaariibu), dan berbagai isu sebelum ini.

"Dan adalah tidak betul bagi orang agama, (keadaan) yang tidak berpihak kepadanya, dia keluarkan dalil, kata tak boleh digunakan kerana Al-Quran cakap. (Apabila) kena kepada orang lain diamkan dalil.  Maka itu tidak boleh.

"Kita kena konsisten, NONE PAS atau Umno mesti sentiasa adil dalam hal ini tidak boleh keluarkan  keaiban dijadikan sebagai bahan politik disebar secara meluas. Tidak PAS, tidak Umno, secara adil," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Berhubung isu video seks tersebut, beliau menegaskan bahawa beliau antara tokoh yang awal tidak bersetuju dengan pendedahan keaiban individu termasuk menjadikan ia sebagai modal politik.

"(Ia) budaya fitnah, saya kata tidak bersetuju dengan perkara yang membabitkan penyebaran (video itu) dan masuk dalam akhbar. Betul atau salah isu kedua," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.