PAC mula siasatan ke atas sistem pengendalian bagasi
Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini meninjau KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meninjau kepincangan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Tempat pertama yang ditinjau adalah sistem pengendalian bagasi di KL Sentral, yang menghubungkan Terminal Udara Bandaraya KL dengan KLIA di Sepang, melalui perkhidmatan keretapi elektrik.
Laporan itu mendedahkan terdapat beberapa siri kelewatan dan semakan semula kos dalam melengkapkan sistem pengendalian bagasi. Kos projek dikatakan melambung kepada 78.9 peratus berbanding dengan anggaran awal.
Sistem itu tidak pernah digunakan sejak ia siap pada 2008 kerana pelbagai masalah yang membabitkan beberapa pihak.
Sementara itu, Bernama melaporkan projek sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Stesen KL Sentral telah siap 90 peratus tetapi belum dapat digunakan sepenuhnya antaranya akibat masalah insurans dan kos tambahan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata bagi menyelesaikan perkara itu, Express Rail Link (ERL), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Malaysia Airport Berhad (MAB) serta Malaysia Airlines (MAS) akan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikannya.
Keputusan mengenai kemudahan itu yang membolehkan penumpang antarabangsa mengambil bagasi di KL Sentral dijangka dimuktamadkan pada suku pertama tahun depan, katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek yang turut disertai anggota jawatankuasa PAC yang lain di KLIA hari ini.
"Ketika ini kemudahan itu boleh digunakan jika dari stesen KL Sentral ke KLIA dan terus ke London atau mana-mana negara. Hanya dari luar negara datang ke KLIA dan terus ke KL Sentral masih tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana melibatkan kos kepada pengguna," katanya.
Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan berlaku beberapa kelewatan dan semakan semula kos dalam melengkapkan sistem baru pengendalian bagasi di KLIA, sekali gus menyebabkan anggarannya melambung 78.9 peratus berbanding unjuran awal.
Menurut Azmi kos asal projek ini hanya RM165.3 juta, tetapi berlaku tambahan kos sebanyak RM19 juta lagi kerana masalah bekalan elektrik.
"Kemudian duit MAB sendiri digunakan sebanyak RM40 juta untuk menyambung sistem baru kepada sistem lama untuk mempercepatkan kelajuan bagasi yang datang," katanya.
Pada sidang akhbar yang sama Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata kabinet seharusnya mempertimbangkan aspek-aspek penting bukan sahaja daripada segi teknikal, malahan dari sudut perniagaan termasuk insurans dan kos sebelum melaksanakan projek itu.
"Kita nak jadikan KLIA ini terkemuka. Jadi keputusan pun mesti terkemuka. Daripada 24,000 bagasi yang sepatutnya boleh dipindahkan dari KLIA dalam sehari, hanya 6,000 yang dapat dikendalikan. Ini yang tidak boleh diterima rakyat," kata beliau yang juga anggota Parlimen Kepong daripada DAP.
Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada DAP pula berpendapat projek itu dilaksanakan tanpa membuat kajian terperinci sama ada ia akan membawa pulangan kepada MAB dan KLIA atau tidak.

