Jabatan Pendaftaran Negara hari ini dipanggil menghadap jawatankuasa terpilih khas parlimen (PSC) untuk pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.

Pada prosiding hari kedua yang terus dijalankan secara tertutup itu JPN disoal mengenai pelbagai isu termasuk dakwaan pemberian Mykad kepada pendatang asing yang kemudiannya didaftarkan sebagai pengundi.

azlan Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah yang pertama memberi keterangan kepada PSC dan memaklumkan bahawa daftar pengundi diambil dari rekod JPN.

Pengerusi PSC Datuk Seri Maximus Ongkili berkata dalam mesyuarat dua setengah jam itu, SPR yang diketuai pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditanya pelbagai persoalan mengenai pilihan raya oleh ahli-ahli jawatankusa.

"Pelbagai isu mengenai pilihan raya juga telah dibincangkan termasuk juga ada cadangan membuat pindaan kepada peraturan tertentu seperti dalam sistem penamaan calon dan berkempen," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Hari ini, Aziz dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyambung keterangan mereka selama kira-kira dua jam.

azlan

Ketika ditanya wartawan di bangunan parlimen, Ongkili memuji SPR kerana kesediaan mereka untuk tampil dengan maklumat yang diperlukan.

"SPR begitu terbuka sekali untuk memberi keterangan yang diminta oleh anggota-anggota PSC kerana mereka juga begitu komited untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini merupakan sistem berintegriti dan terbuka untuk memuaskan majoriti rakyat Malaysia," katanya.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata SPR juga bersetuju bahawa masih ada ruang untuk menambah baik sistem pilihan raya yang sedia ada dan mempunyai cadangan tertentu untuk tujuan itu.

Ongkili berkata jawatankuasa itu akan membuat resolusi Khamis depan selepas mengadakan pertemuan semula dengan SPR, yang turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kita akan mesyuarat lagi pada 10 November kerana masih ada satu tajuk di bawah SPR yang perlu dibincang bersama JPN seperti soal penambahbaikan daftar pemilih dan soal kelayakan.

"JPN dan SPR akan hadir bersama untuk menjawab," katanya.

[Baca berita penuh]