Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Empat aktivis mahasiswa - yang mencabar Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) - 'mengugut' memastikan BN hilang undi generasi muda sekiranya kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah yang mengisytiharkan seksyen itu tidak sah.

NONE Jurucakap kumpulan itu Hilman Idham ( kanan ) juga menyalahkan Umno sebagai tulang belakang BN yang didakwanya tidak mempunyai keazaman politik dalam memberikan hak berpolitik kepada mahasiswa.

"Kita lihat sudah ada langkah positif yang diambil oleh parti-parti dalam BN seperti MCA, GERAKAN, PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di Sarawak (untuk tidak merayu keputusan itu).

"Masalahnya sekarang ini adalah, setiap keputusan terpaksa bergantung kepada keazaman politik daripada Umno, sekiranya keputusan yang dibuat oleh kabinet (mahu merayu) itu betul," katanya.

Hilman mendakwa mendapat maklumat daripada pelbagai sumber bahawa kerajaan sudah memutuskan akan merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa Seksyen 15(5) tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Sebelum ini, laman web sebuah akhbar bahasa Cina memetik sumber-sumber melaporkan kabinet membenarkan kementerian pengajian tinggi merayu kerana keputusan Mahkamah Rayuan dianggap "bercanggah dengan semangat pemisahan kuasa".

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, juga dalam Twitter menulis bahawa China Press melaporkan keputusan itu.

NONE Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata kabinet belum membuat keputusan berhubung perkara itu dan memutuskan menunggu nasihat peguam negara untuk tindakan lanjut.

Bercakap dalam sidang media di ibu negara hari ini, Hilman kecewa dengan sistem politik negara ini, yang mana setiap keputusan didakwa terpaksa bergantung kepada Umno.

Katanya lagi, perjuangan mahasiswa untuk memansuhkan akta itu "sudah hampir berjaya" dan pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan Pakatan Rakyat menyatakan sokongan memansuhkan akta itu.

"Saya yakin, generasi muda akan kecewa dengan Umno dan BN yang dilihat gagal merealisasikan tranformasi politik," katanya.

Hilman bagaimanapun menghormati dan menerima "dengan hati terbuka" keputusan kerajaan untuk merayu kerana ia merupakan hak responden.

ADS