'Superwomen' berhimpun tuntut tadbir urus baik
Lebih 5,000 'superwomen' akan turun ke jalanan sekitar Petaling Jaya pada 18 Mac ini sebelum berhimpun di sebuah padang awam untuk menuntut tadbir urus yang bersih dan baik.
"Kami jangkakan kira-kira 5,000 wanita... Kita akan berkumpul di tiga lokasi dan berjalan kaki ke padang Astaka," kata penganjurnya, Ho Yock Lin kepada Malaysiakini .
Wanita berkenaan akan berkumpul serentak di stesen LRT Asia Jaya dan Taman Jaya serta Masjid Tun Abdul Aziz di Seksyen 14 pada jam 2 petang sebelum berarak ke destinasi akhir mereka.
Ho, yang juga timbalan presiden All-Women's Action Society (AWAM) berkata ketiga-tiga kumpulan itu akan bertemu di padang Astaka, yang terletak di hadapan Amcorp Mall.
Pada perhimpunan ‘superwomen’ itu, mereka akan mendengar ucapan daripada pelbagai personaliti wanita, menyanyikan lagu-lagu sambil melaungkan slogan berhubung tuntutan mereka itu.
Ho berkata majlis itu juga akan memberi tumpuan kepada nasib Orang Asli dan hak-hak pekerja.
"Kami telah maklumkan kepada polis," kata Ho, apabila ditanya jika pihaknya telah memberitahu pihak berkuasa mengenai acara itu.
Peserta perhimpunan juga diminta berpakaian ungu sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa (yang jatuh pada 8 Mac), dan memakai sarung tangan putih bagi melambangkan tuntutan mereka untuk mendesak tadbir urus yang bersih.
Menurut Ho, selain AWAM, NGO lain yang terbabit termasuk Women’s Aid Organisation, Sisters in Islam, Tenaganita dan Empower.

