PSC desak SPR benarkan warga luar negara mengundi
Jawatankuasa Parlimen Khas (PSC) mengenai pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bagaimana ia akan membolehkan semua rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi.
"PSC pada laporan awalnya telah mencadangkan supaya rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya belum datang semula dengan satu mekanisme.
"Laporan akhir PSC mesti disiapkan sebelum 2 April, kami hanya mempunyai dua minggu lagi (untuk menyiapkan laporan)... SPR tidak boleh terus kata mereka memerlukan masa untuk mengkaji selama-lamanya," kata ahli PSC Anthony Loke selepas mesyuarat jawatankuasa itu, petang tadi.
Sementara itu, Bernama melaporkan laporan akhir cadangan penambahbaikan pilihan raya dijangka siap sebelum akhir bulan ini untuk dibentangkan di Parlimen pada 2 April, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Datuk Seri Maximus Ongkili.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan bermesyuarat tiga kali lagi iaitu pada 14, 21 dan 22 Mac bagi mengemaskini laporan itu.
"Masih ada ruang untuk orang ramai beri cadangan kepada kita (sebelum laporan akhir siap)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PSC kali kelapan di Bangunan Parlimen.
Mengulas lawatan anggota PSC di United Kingdom, Jerman dan Denmark pada minggu lepas, Ongkili berkata hasil lawatan itu akan diteliti sepenuhnya dalam baki mesyuarat yang akan diadakan.
Antara yang akan diperhalusi ialah mengenai kelayakan sebagai pengundi, umur layak mengundi, daftar pemilih, persempadanan, pendaftaran automatik, pembiayaan politik, kerangka institusi pilihan raya, akses kepada media, undi luar negara, tempoh pilihan raya dan tempoh pengisytiharaan pilihan raya, katanya.
"Kami telah mengagihkan kepada lima peringkat jawatankuasa, satu mengenai perundangan, kedua proses pilihan raya, ketiga daftar pemilih, keempat institusi pilihan raya dan kelima sistem alternatif, dan kami akan membincangkannya lagi minggu depan," katanya.
Ongkili bagaimanapun berkata sistem di negara luar berkemungkinan tidak sesuai digunakan sepenuhnya di negara ini.
Sehingga 1 Dis lalu, jawatankuasa itu telah membentangkan laporan awal yang mengandungi 10 cadangan kepada Dewan Rakyat iaitu mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.
Cadangan turut menyentuh pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan; dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PSC ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lalu dan diberi enam bulan untuk mengemukakan cadangan.

