Najib gesa masyarakat India sokong BN
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa masyarakat India supaya menyokong pentadbiran beliau yang telah membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan apa yang dijanjikan.
Sambil memberitahu hadirin bahawa kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM440 juta sejak 2009 untuk membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan menaik taraf hampir 400 sekolah sedemikian di seluruh negara, katanya, BN sentiasa memenuhi janji untuk memastikan pendidikan berkualiti kepada masyarakat India.
"Kerajaan membuat janji ini pada tahun 2009 dan sekarang, hampir tiga tahun kemudian, saya ingin tegaskan bahawa kami telah memenuhi janji kami.
"Buktinya ialah terdapat hampir 400 buah sekolah Tamil di seluruh negara."
Selain itu, Najib berkata tindakan kerajaan ini juga telah menyaksikan peningkatan 47 peratus pelajar mendapat kelulusan cemerlang di sekolah Tamil tahun lalu.
"Jika saya telah penuhi janji itu, jika kerajaan telah tepati segala janji, bayangkan apa yang kita mampu lakukan dengan lima tahun lagi," katanya di pelancaran Pusat Sri Murugan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Vivekananda di Kuala Lumpur.
Sambil menyatakan keikhlasan kerajaan dalam membantu rakyat termasuk masyarakat India, Najib berkata beliau tidak akan berjanji sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan.
"Saya bukan ahli politik jenis itu," kata Najib sambil menegaskan bahawa beliau komited dan tidak akan bertolak ansur demi masa depan Malaysia.
Beliau juga meminta semua rakyat untuk bersama-sama dengan beliau bagi membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Biasiswa penuh
Najib turut mengumumkan seratus pelajar India yang memperoleh ijazah kelas satu di universiti awam akan diberi biasiswa penuh bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Katanya, tindakan itu ia sebagai memenuhi janji yang dibuat beliau di pelancaran pergerakan pelajar India 1Malaysia (1MISM) tahun lalu.
"Pada tahun 2011, di pelancaran 1MISM saya mengumumkan lebih banyak peluang dana akan ditawarkan kepada mahasiswa India kelas satu di universiti-universiti awam untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan PhD di institusi pengajian tinggi awam.
"Hari ini, kena pada masa pengambilan kursus pasca siswazah 2012, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mempastikan 100 pelajar India cemerlang yang mendapat ijazah kelas satu diberi biasiswa yuran sepenuhnya," katanya.
Sejajar dengan pengumuman itu, Najib berkata, pelajar cemerlang berkenaan sekarang boleh melanjutkan pengajian pasca siswazah di universiti awam sekiranya mereka memutuskan untuk berbuat demikian.

