Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan penyenaraian Felda di Bursa Malaysia yang akan berlangsung sebagai satu bentuk "perkongsian kemakmuran".

Menurutnya, ia berlaku apabila golongan bukan peneroka membeli baki daripada 37 peratus saham Felda dan memperoleh pulangan dalam bentuk dividen tahunan.

NONE "(Sebanyak) 20 peratus akan dimiliki tabung amanah yang menjaga kepentingan Felda dan 17 peratus akan dipegang Felda.

"Tetapi bakinya itu dikongsikan dengan rakyat Malaysia, dikongsikan dengan Melayu, Cina, India, dikongsikan dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dikongsikan dengan Tabung Haji, dikongsikan dengan Kumpulan Wang Amanah pencen.

"Ini konsep berkongsi kemakmuran yang selama ini kemakmuran itu hanya dimiliki Felda," katanya pada sesi bual bicara santai "Teh Tarik Bersama YB" di Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu, mengulas pemberian wang tunai sebanyak RM15,000 kepada peneroka sempena penyenaraian, Ahmad menafikan ia usaha mempengaruhi peneroka mengundi BN.

Tambahnya, ini kerana rakyat sentiasa menerima manfaat dalam bentuk subsidi gula, petrol, minyak masak, dan gas memasak.

"Kerajaan BN memberikan wang kepada rakyat tiap-tiap hari. Kerajaan bagi kita duit setiap kali kita makan benda-benda bergoreng. Tiap-tiap hari kita makan duit kerajaan. Jadi tidak timbul soal beli undi," katanya.

'Subsidi bukan hak rakyat'

Mengakui subsidi itu datangnya dari wang pembayar cukai, Ahmad Maslan berkata tindakan memberikan subsidi itu 'kebijaksanaan' kerajaan BN yang tidak dilaksanakan negara lain.

"Subsidi bukan hak rakyat sebab di Indonesia, Thailand dan Singapura tiada subsidi sebanyak Malaysia.

"Hak rakyat adalah kesihatan, pendidikan, itu hak rakyat. Subsidi adalah kebijaksanaan BN bantu rakyat.

"Kerajaan boleh tak bagi subsidi maknanya kerajaan itu tidak bijak," katanya di hadapan kira-kira 70 orang hadirin.

Dalam majlis sama, Ahmad turut mempertahankan pemilihan bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar mengetuai panel menyiasat insiden kekasaran semasa himpunan BERSIH 3.0

Pemilihan Hanif Omar mengetuai panel itu semalam mengundang kritikan pelbagai pihak kerana beliau pernah memberikan komen berbentuk negatif kepada penganjuran BERSIH sebelum ini.

"Yang telah dipilih, dipilihlah. Beliau juga masih segar. Pendengarannya pun masih jelas. Beliau pun ada banyak pengalaman banyak sebagai bekas ketua polis negara.

"Jadi baguslah. Apa yang kita buat tak pernah kena jadi kita dengar dahulu penjelasan mereka (panel tersebut)," katanya.