Pak Samad: Tangguhkan dulu derma buat BERSIH
Pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said meminta orang ramai agar tidak tergesa-gesa mengumpul dana untuk membantu anggota jawatankuasa pemandu gabungan itu yang berhadapan saman kerajaan Malaysia.
Menurutnya, jawatankuasa pemandu BERSIH akan membincangkan cara terbaik bagi memastikan wang itu disampaikan melalui saluran yang betul.
"Kami menasihatkan dibekukan dulu niat itu sebab kami akan berbincang dulu cara sebaiknya sebab kami tidak mahu wang itu datang secara agak bersepah," kata A Samad Said yang lebih dikenali sebagai Pak Samad (
kanan, berbaju ungu
).
Semalam seorang lagi pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga mengesahkan menerima writ saman yang menuntut ganti rugi RM122,000 daripadanya dan sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu gabungan itu kerana didakwa gagal mengawal perhimpunan 28 April lalu sehingga kerajaan menanggung kerugian.
Semua ahli jawatankuasa BERSIH dinamakan dalam saman tersebut kecuali Pak Samad dan aktivis Hishamuddin Rais.
Turut bercakap pada sidang media di hadapan rumahnya sebentar tadi, Ambiga menegaskan BERSIH tidak gentar dengan saman itu dan akan menjawab tuduhan yang terkandung dalam saman itu di mahkamah.
"Kami sedia terima tindakan ini dan kami akan pertahan dengan bersungguh dan ada ramai peguam ingin ambil kes kami," katanya.
Beliau juga menggesa orang ramai agar menunggu garis panduan khusus berkenaan derma yang ingin diberikan untuk membantu jawatankuasa BERSIH menghadapi perbicaraan di mahkamah.
"Kami akan keluarkan garis panduan dalam masa seminggu," katanya.
Exco lancar tabung bantuan
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, exco Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata beliau dan beberapa aktivis NGO hari ini melancarkan tabung bagi menampung saman itu.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap aspirasi BERSIH agar dapat menyumbang sebanyak RM1 setiap seorang bagi tujuan murni ini," katanya.
Dr Xavier ( kiri ) berkata, walaupun Selangor mampu menyediakan dana itu, pihaknya berpendapat semua rakyat Malaysia harus komited dan terlibat langsung bagi merealisasikan agenda BERSIH.
Tabung itu bagaimanapun akan juga digunakan untuk membiayai kos guaman terhadap peserta BERSIH lain yang memerlukan.

